Selasa, 24 September 2019 | 3:17pm
Keadaan jerebu di Johan Setia catat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 170. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Jerebu: Hanya 14 kawasan bacaan IPU tidak sihat setakat tengah hari ini

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di seluruh negara bertambah baik tengah hari ini apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus menunjukkan penurunan dengan hanya 14 kawasan merekodkan bacaan IPU tidak sihat berbanding 25 kawasan pada 7 pagi tadi.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), empat kawasan di Selangor masih mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan stesen Johan Setia Klang merekodkan bacaan paling tinggi iaitu (170), Banting (122), Klang (116) dan Shah Alam (103).

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Terengganu direkodkan pada tahap sederhana iaitu 93 pada jam 12.35 tengahari di Jambatan Sultan Mahmud. - NSTP/Rozainah Zakaria

Kualiti udara tidak sihat turut direkodkan di tiga stesen di Negeri Sembilan iaitu Nilai (136), Seremban (106) dan Port Dickson selain Segamat, Johor (110); Temerloh, Pahang (133) ; Kemaman, Terengganu (103); Tanah Merah, Kelantan (103); Putrajaya (122) serta dua kawasan di Perak iaitu Tasek Ipoh (123) dan Seri Manjung (131).

Sementara 51 kawasan lagi merekodkan bacaan IPU sederhana.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini memaklumkan jerebu yang melanda negara sejak dua minggu lepas dijangka bertambah baik berikutan fasa peralihan monsun akan bermula pada 24 September sehingga awal November ini.

Keadaan jerebu di sekitar Pusat Hidrografi Nasional. Indeks Pencemaran Udara (IPU), Jabatan Alam Sekitar mencatatkan Pelabuhan Klang dengan bacaan 117 jam 11 pagi. - NSTP/Sairien Nafis

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Untuk berita terkini berkaitan jerebu boleh layari www.bernama.com. – BERNAMA

Berita Harian X