Isnin, 23 September 2019 | 6:27pm
MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berucap pada majlis pelancaran Cities 4.0 dan Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA

Lebih 48,000 rumah RM300,000 ke bawah belum terjual

KUALA LUMPUR: Sebanyak 48,585 unit rumah berharga RM300,000 ke bawah di seluruh negara masih belum terjual setakat ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata berdasarkan Laporan Suku Pertama 2019 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah itu merangkumi 36,512 unit rumah dalam pembinaan dan 12,073 unit rumah yang sudah siap.

Katanya, masalah utama rumah berkenaan tidak terjual adalah kegagalan pemohon terutama daripada golongan B40 dan M40 untuk mendapatkan pinjaman bank.

Beliau berkata, kementeriannya akan menganjurkan Kempen Pemilikan Rumah Mampu Milik (HOC) yang memberi fokus kepada rumah berharga RM300,000 ke bawah bagi golongan berkenaan, dari 4 hingga 6 Oktober ini di kompleks membeli-belah NU Sentral di sini.

“Ini adalah HOC pertama yang dianjurkan bagi rumah berharga RM300,000 ke bawah, yang turut memberi fokus kepada pembeli rumah pertama.

“Terdapat kira-kira 10,500 rumah yang keseluruhannya bernilai RM2 bilion akan ditawarkan oleh 32 pemaju swasta dan kerajaan yang menyertai HOC ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pra pelancaran HOC di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

Zuraida berkata, terdapat pelbagai insentif menarik yang ditawarkan pada HOC berkenaan, antaranya diskaun RM30,000 melalui Skim Perumahan Mampu Milik dan pengecualian duti setem bagi surat cara pindah milik kerajaan serta perjanjian pinjaman.

Selain itu katanya, pemberian diskaun dan rebat sehingga 30 peratus bagi projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) terpilih, tawaran baucer sehingga RM30,000 dalam bentuk peralatan elektrik dan perabot bagi pembeli rumah PR1MA terpilih dan cabutan bertuah harian.

“Kita sasarkan sebanyak 80 peratus rumah akan terjual pada HOC ini dan saya harap golongan B40 dan M40 akan mengambil kesempatan untuk membuat permohonan.

“Ini adalah pusat sehenti di mana mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada institusi kewangan yang mengambil bahagian dan terus membuat permohonan,” katanya.

Sementara itu, mengenai 39 keluarga di Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh yang duduk di khemah selepas rumah mereka dirobohkan bagi kerja pelebaran Sungai Kedondong, Zuraida berkata, penduduk boleh datang ke kementeriannya untuk membuat permohonan rumah dan pihaknya akan melihat perkara itu mengikut kesesuaian.

Berita Harian X