Isnin, 23 September 2019 | 6:22pm
PENGARAH Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Mohd Sani Mat Daud bertanya sesuatu kepada sebahagian wakil media berkaitan isu jerebu ketika majlis beramah mesra di Villa Cinta, Kampung Cheruk Paloh. - Foto Muhd Asyraf Sawal

JAS Pahang pantau aktiviti pembakaran terbuka

KUANTAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang menumpukan tiga kawasan tanah gambut seluas kira-kira tiga hektar di negeri ini daripada sebarang aktiviti membabitkan pembakaran terbuka dalam usaha mengurangkan kesan jerebu yang melanda negara ketika ini.

Pengarahnya, Mohd Sani Mat Daud, berkata tiga lokasi itu ialah di sekitar daerah Pekan, Rompin dan Balok, dekat Kuantan.

Katanya, JAS turut mempertingkatkan tugasan penguatkuasaan serta rondaan harian ke kawasan berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka, selain melakukan pemantauan indeks pencemaran udara (IPU) dari semasa ke semasa.

“Buat masa ini, daerah Pekan antara diberikan tumpuan kerana sekarang lokasi itu sedang berlaku kebakaran terbuka membabitkan kawasan belukar di Temai dan Ganchong.

“Bagaimanapun, kebakaran itu tidak mempengaruhi bacaan IPU secara umumnya dan kita akan terus melakukan pemantauan kualiti udara bagi memudahkan orang ramai merujuk kepada keadaan udara di kawasan mereka.

“Tugas pemantauan IPU ini dijalankan di lima stesen pengawasan udara di negeri ini dan sehingga jam 8 pagi tadi (23 September) Indera Mahkota menunjukkan IPU tertinggi iaitu 159, diikuti Balok Baru 155, Rompin 144, Temerloh 137 dan Jerantut 114,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Media Pahang di Cherok Paloh di sini, hari ini.

Mohd Sani berkata, kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia masih menjadi faktor utama jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia dan Barat Sarawak.

“Bacaan jerebu di sekitar negeri ini menunjukkan trend penurunan, namun kita sentiasa mengingatkan orang ramai agar tidak membuat pembakaran terbuka.

“Keadaan mungkin berubah (lebih buruk) jika tiada kerjasama daripada orang ramai yang mampu mengubah keadaan jerebu sekarang keadaan yang lebih baik,” katanya.

Berita Harian X