X
Isnin, 23 September 2019 | 5:28pm
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.
MENTERI Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad.

Pembangkang jangan politikkan isu pembangunan semula Kampung Baru

PUTRAJAYA: Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd Samad membidas pembangkang kerana didakwa bermain politik bagi menggagalkan usaha kerajaan membangunkan semula penempatan Kampung Baru di Kuala Lumpur.

Katanya, pembangkang khususnya UMNO dan PAS yang berterusan memainkan isu berkenaan, termasuk mendakwa usaha kerajaan itu akan merosakkan masa depan penduduk serta menghilangkan identiti penempatan Melayu, amat dikesali.

“Kita nak tunjuk kepada dunia penempatan orang Melayu di Kampung Baru dalam keadaan baik, selesa dan maju.

“Jadi UMNO dan PAS janganlah bermain politik, kita kena ambil kira kepentingan masyarakat Melayu dan Islam, kita tak mahu seluruh Bandaraya Kuala Lumpur sudah maju, tetapi Kampung Baru masih tidak berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan bagi Ahli Lembaga Rayuan (Perancangan) dan Lembaga Penasihat Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (LPPWPKL) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, kerajaan tidak pernah berniat untuk mengetepikan kepentingan penduduk, sebaliknya usaha pembangunan semula itu perlu dilihat dalam perspektif untuk menjadikan penempatan terbabit lebih selesa, lengkap dengan pelbagai kemudahan serta moden.

“Sekarang ini ramai pemilik tak nak tinggal di Kampung Baru sebab tak selesa, antaranya kerana ramai penyewa termasuk warga asing.

“Jadi kalau dapat dibangunkan sebagai tempat selesa dan moden, pemilik boleh kembali tinggal di situ, termasuk membeli semula penempatan mewah di Kampung Baru menggunakan wang hasil jualan lot tanah milik mereka sekarang,” katanya.

Mengenai dakwaan penduduk bahawa tawaran harga RM850 satu kaki persegi atau hampir RM7 juta untuk lot 8,000 kaki persegi bagi pembangunan semula penempatan itu terlalu rendah, Khalid berkata, harga itu ditentukan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Ikut nilai (tanah) semasa kita tanya penilai, jangan tanya penjual, kalau penjual memang harga sentiasa tinggi, JPPH tidak ada kepentingan, ia mengambil kira pelbagai faktor termasuk syarat-syarat dan pemilikan, jadi (penduduk) jangan dengar pihak yang nak menggagalkan projek ini, terutama pembangkang,” katanya.

Beliau berkata, ada juga penduduk didapati sengaja mahu menunggu kononnya kerajaan akan menukar tanah Kampung Baru berstatus rizab Melayu kepada pegangan bebas sebelum menjualnya dengan harga lebih tinggi, namun menjelaskan perkara itu tidak akan berlaku.

“Kalau nak tunggu (pertukaran status tanah), tunggulah.. jangan tunggu nak hapus status (rizab Melayu) baru nak jual, kalau berlaku pun mungkin kamu dah berada dalam kubur,” katanya berseloroh.

Semalam, Ahli Majlis Malay Agricultural Settlement (MAS), Raden Salikun Mui, dilaporkan mendakwa tawaran RM850 satu kaki persegi oleh kerajaan di bawah nilai sebenar tanah di sekitar kawasan berkenaan, termasuk Menara Berkembar PETRONAS (KLCC) yang mencecah harga RM3,000 satu kaki persegi.

Malah, beliau mendakwa majoriti pemilik tanah di Kampung Baru dipercayai tidak akan menerima tawaran jika kerajaan sanggup menaikkan harganya sehingga RM1,000 bagi setiap kaki persegi sekalipun.

Terdahulu, Khalid menyerahkan watikah pelantikan Ahli Lembaga Rayuan (Perancangan) dan LPPWPKL kepada masing-masing enam individu berpengalaman dan profesional dalam bidang perancangan bandar.

Berita Harian X