Isnin, 23 September 2019 | 1:35pm
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching
TIMBALAN Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching

Pengguguran program akademik bergantung kebolehpasaran graduan

KUALA LUMPUR: Keputusan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) menggugurkan program akademik di sesebuah universiti awam (UA) mengambil kira beberapa faktor termasuk kebolehpasaran graduan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching, berkata setiap UA membuat kajian dari semasa ke semasa, sama ada program yang ditawarkan masih lagi relevan dengan perkembangan semasa atau sebaliknya.

Katanya, ini bagi memastikan graduan dilahirkan mempunyai potensi memenuhi permintaan semasa kerjaya ditawarkan di negara ini.

“Terpulang kepada universiti, sama ada menambah jurusan atau menggugurkan program akademik ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis sambutan Hari Susu Sekolah Sedunia 2019 dan sumbangan makanan berkhasiat kepada murid di Kompleks Seri Bintang, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan muka depan BH, hari ini berhubung JPT menggugurkan 38 program akademik kebanyakannya sains dan kejuruteraan peringkat sarjana muda dan sarjana di 19 UA kerana tidak relevan dengan keperluan semasa industri dan masa depan graduan.

Difahamkan, keputusan itu dibuat kerana bidang pengajian pada peringkat sarjana dan sarjana muda terbabit, tidak menjanjikan peluang pekerjaan terbaik kepada graduan sejajar permintaan semasa industri.

Daripada 19 UA, setiap universiti menggugurkan sekurang-kurangnya dua kursus pengajian dan BH difahamkan, beberapa lagi program akademik turut dalam pemerhatian, sama ada digugurkan atau distruktur semula selaras perubahan pasaran pekerjaan di Malaysia.

Bagaimanapun, Nie Ching berkata, beliau belum mendapat maklumat berhubung perkara itu.

Katanya, kebajikan pensyarah dan kakitangan sokongan seperti pembantu makmal dan juruteknik juga perlu diambil kira sama ada ditempatkan di universiti lain atau kekal universiti asal.

“Saya percaya kerajaan mempunyai mekanisme berkesan untuk menjaga kebajikan pensyarah dan kaki tangan sokongan terbabit,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X