Isnin, 23 September 2019 | 10:31am
KEADAAN jerebu di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
KEADAAN jerebu di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Penyakit asma, konjuntivitis meningkat

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan merekodkan peningkatan penyakit asma dan konjuntivitis berikutan jerebu pada Minggu Epid (ME) 38, iaitu antara 15 hingga 21 September lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyakit asma mencatatkan peningkatan 3.5 peratus, iaitu 1,222 kepada 1,265 kes, berbanding purata pada ME 27 hingga 36, iaitu antara 30 Jun hingga 7 September lalu.

“Penyakit konjuntivitis meningkat 51.4 peratus, membabitkan 403 daripada 266 kes, manakala penyakit jangkitan saluran pernafasan (URTI) menurun sebanyak 9.6 peratus, iaitu 8,258 kepada 7,465 kes sepanjang tempoh sama.

“Orang ramai, khususnya golongan berisiko tinggi seperti kanak-kana, orang tua, perokok, mereka yang sentiasa terdedah dengan udara luar, pesakit asma, bronkitis, radang paru-paru, sakit jantung dan alahan agar mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya maklum mengenai bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 68 Stesen Pengawasan Kualiti Udara, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada jam 8 malam semalam, masing-masing 24 stesen pada tahap sederhana, 42 tidak sihat (42) dan sangat tidak sihat (1).

“Terdapat 17 kawasan merekodkan IPU sangat tidak sihat dan satu kawasan bacaan bahaya pada ME 38, berbanding tiga kawasan pada ME 37, iaitu antara 8 hingga 14 September lalu.

“Orang ramai boleh melayari laman sesawang http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/183 bagi mendapatkan langkah pencegahan untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

“Masyarakat juga disaran untuk mengikuti perkembangan semasa jerebu dan menyemak IPU di lokaliti masing-masing dengan melayari laman portal JAS di http://apims.doe.gov.my/ dan mengikuti saranan pihak berwajib bagi setiap julat bacaan IPU,” katanya.

Berita Harian X