Jumaat, 20 September 2019 | 9:43pm
Rina berucap pada Majlis Perasmian Program Wanita, Kesihatan dan Keluarga Bahagia serta Penyerahan Bantuan Asnaf Lembah Pantai Siri 6/2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Rina berucap pada Majlis Perasmian Program Wanita, Kesihatan dan Keluarga Bahagia serta Penyerahan Bantuan Asnaf Lembah Pantai Siri 6/2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Jangan ganggu fokus Tun M dengan isu peralihan kuasa

KUALA LUMPUR: Semua pihak diingatkan tidak mengganggu tumpuan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membangun semula negara dengan membangkitkan isu peralihan kuasa berulang kali.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, berkata Perdana Menteri memerlukan fokus sepenuhnya untuk memulihkan keadaan ekonomi negara dan isu peralihan kuasa tidak sewajarnya dibangkitkan ketika ini.

“Dr Mahathir perlu diberi ruang untuk beliau fokus pada tugas membangunkan semula negara tanpa ada sebarang bentuk gangguan.

“Kita tahu bagaimana keadaan ekonomi negara ketika ini. Sudah pasti beliau perlu memberikan lebih tumpuan pada perkara ini, jadi janganlah diganggu tumpuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Wanita, Kesihatan dan Keluarga Bahagia serta Penyerahan Bantuan Asnaf Lembah Pantai Siri 6/2019 di sini, hari ini.

Rina beramah mesra bersama penerima bantuan ketika menyampaikan bantuan pada Program Wanita, Kesihatan dan Keluarga Bahagia serta Penyerahan Bantuan Asnaf Lembah Pantai Siri 6/2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
Rina beramah mesra bersama penerima bantuan ketika menyampaikan bantuan pada Program Wanita, Kesihatan dan Keluarga Bahagia serta Penyerahan Bantuan Asnaf Lembah Pantai Siri 6/2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Turut hadir, Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Lembah Pantai, Zainal Ariffin Osman.

Rina yang juga Ketua Srikandi BERSATU berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Zainal Ariffin yang menyuarakan sokongan BERSATU Lembah Pantai supaya Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal pentadbirannya.

Perkara sama pernah disuarakan beberapa kali sebelum ini, antaranya dinyatakan beberapa perwakilan BERSATU di Perhimpunan Agung kedua parti itu pada Disember lalu.

Selain itu, UMNO dan PAS turut dilaporkan menyokong Dr Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri hingga akhir penggal, yang kemudian disokong Menteri Hal Ehwal Ekonomi yang juga Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Bagaimanapun, Dr Mahathir beberapa kali dilaporkan enggan melanggar janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan sedia melepaskan

jawatannya selepas keadaan negara sudah pulih.

Rabu lalu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, peralihan kuasa yang bakal menyaksikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir, dijangka berlaku tahun depan.

Terdahulu, Rina menyampaikan bantuan makanan asas seperti beras, minyak dan tepung kepada kira-kira 100 asnaf di sekitar Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, di sini.

Berita Harian X