Rabu, 18 September 2019 | 1:56pm
PELAJAR Universiti Sains Malaysia (USM), Noor Asnida Natasha Abdul Latif, 21, menunjukkan notis makluman penangguhan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di media sosial Facebook Universiti Sains Malaysia susulan keadaan jerebu yang serius ketika tinjauan di USM Pulau Pinang. NSTP/Danial Saad.
PELAJAR Universiti Sains Malaysia (USM), Noor Asnida Natasha Abdul Latif, 21, menunjukkan notis makluman penangguhan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di media sosial Facebook Universiti Sains Malaysia susulan keadaan jerebu yang serius ketika tinjauan di USM Pulau Pinang. NSTP/Danial Saad.

USM tangguh sesi pembelajaran susulan IPU sangat tidak sihat

GEORGETOWN: Sesi pembelajaran di kampus induk Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, ditangguhkan berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencatatkan bacaan sangat tidak sihat, hari ini.

USM dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi, memaklumkan penangguhan itu membabitkan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran termasuk aktiviti luar bangunan.

Bagaimanapun, katanya, penangguhan hanya membabitkan pelajar dan operasi harian pejabat kekal seperti biasa.

“Semua pelajar dan kakitangan juga diminta untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengurusan Jerebu USM.

“Sebarang maklumat lanjut boleh merujuk laman web Pusat Sejahtera USM di www.pusatsejahtera.usm.myatau menghubungi talian hotline di 04-653 4948,” katanya.

Sementara itu, tinjauan BH di sekitar pusat bandar mendapati keadaan jerebu semakin teruk dengan jarak penglihatan juga semakin terhad.

Di Jambatan Pulau Pinang umpamanya, kebanyakan bangunan di sebelah pulau yang sebelum ini boleh dilihat dari Seberang Perai, tidak kelihatan berikutan jerebu tebal.

Pelajar di dua daerah di Barat Daya dan Timur Laut juga dilihat mula meninggalkan sekolah masing-masing susulan arahan penutupan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) pagi tadi.

Sebanyak 162 di bahagian pulau diarahkan tutup hari ini selepas kedua-dua daerah itu mencatatkan IPU sangat tidak sihat.

Sementara itu, berdasarkan pemerhatian di Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati, bacaan di Balik Pulau terus menunjukkan peningkata kepada 253 setakat jam 1 petang ini manakala di stesen Minden, bacaan dicatatkan adalah 223, juga meningkat berbanding 216 jam 12 tengah hari tadi.

Di Seberang Jaya pula, bacaan IPU turut naik kepada 172 daripada 164 pada jam 12 tengah hari, begitu juga Seberang Perai sudah menghampiri bacaan sangat tidak sihat, iaitu 180.

Berita Harian X