X
Rabu, 18 September 2019 | 1:50pm
Gambar fail, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). - Foto Sayuti Zainudin
Gambar fail, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). - Foto Sayuti Zainudin

Jerebu: Empat penerbangan terpaksa patah balik

GEORGETOWNl: Empat penerbangan yang dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), terjejas susulan keadaan jerebu yang semakin teruk di negeri ini.

Pengurus Kanan Lapangan Terbang LTAPP, Nadzim Hashim, berkata dua penerbangan masing-masing dari Medan dan Kuala Lumpur terpaksa berpatah balik atas faktor keselamatan berikutan tahap penglihatan yang rendah.

Katanya, ia membabitkan penerbangan JT132 dari Medan, Indonesia terpaksa berpatah balik ke Medan dan penerbangan kargo 5X 147 dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang yang terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur.

“Satu penerbangan yang turut membabitkan kargo, FX6159 dari Bangkok ke Pulau Pinang yang dijadualkan tiba pada jam 9.15 pagi tadi mengalami kelewatan.

“Satu lagi penerbangan, MI 346 dari Singapura ke Pulau Pinang pula terpaksa dilencongkan ke Medan,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, situasi semasa tidak menjejaskan operasi lain di lapangan terbang dan tiada juga pembatalan penerbangan dibuat setakat ini.

Berdasarkan pemerhatian di Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) setakat jam 1 petang ini mendapati, bacaan di Balik Pulau terus menunjukkan peningkatan kepada 253 manakala di stesen Minden, bacaan dicatatkan adalah 223, juga meningkat berbanding 216 jam 12 tengah hari tadi.

Di Seberang Jaya pula, bacaan IPU turut naik kepada 172 daripada 164 pada jam 12 tengah hari, begitu juga Seberang Perai sudah menghampiri bacaan sangat tidak sihat, iaitu 180.

Berita Harian X