Rabu, 18 September 2019 | 10:45am
Seorang pemancing tetap melakukan aktiviti memancing walaupun cuaca di sekitar Pelabuhan Klang kelihatan kabur dan tidak sihat ekoran jerebu yang melanda hari ini. - Foto BERNAMA
Bacaan Indeks Pencemaran Udara di Klang pagi ini di http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html

IPU Johan Setia, Balik Pulau meningkat

KUALA LUMPUR: Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi Johan Setia Klang (MCAQM) merekodkan peningkatan bacaan, sejak jam 7 malam semalam dan berada pada paras sangat tidak sihat, iaitu 261 setakat jam 10 pagi tadi.

Semakan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) mendapati situasi sama berlaku di Balik Pulau, Pulau Pinang apabila bacaan IPU meningkat secara mendadak, daripada paras sederhana, 56 pada jam 11 pagi semalam kepada sangat tidak sihat, 225 setakat jam 10 pagi tadi.

Bacaan IPU sangat tidak sihat turut dicatatkan di dua daerah di Selangor, masing-masing Petaling Jaya (206) dan Shah Alam (221), selain Putrajaya (202) serta Nilai, Negeri Sembilan (209).

Sementara itu, situasi di Sri Aman, Kuching mula merekodkan perubahan positif apabila IPU menyusut kepada paras sangat tidak sihat, 233 berbanding bacaan berbahaya dan tertinggi yang direkodkan pada jam 9 malam, semalam, iaitu 397.

Sebanyak 26 lokasi di Semenanjung, merangkumi beberapa negeri kecuali Perlis, Terengganu dan Kelantan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat, selain sembilan kawasan di Sabah serta Sarawak.

Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) pula melaporkan sebanyak tujuh tompok panas berlaku di seluruh Kalimantan, manakala Sulawesi (21), Sumatera (23) serta satu di Pulau Jawa.

Berita Harian X