Selasa, 17 September 2019 | 12:33pm
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

MESI 2.0 lebih kompetitif

Putrajaya: Industri elektrik tempatan akan menjadi lebih kompetitif dan kalis cabaran masa depan dengan pembaharuan utama yang akan dilaksanakan menerusi Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 (2019-2025).

Pembaharuan ketara akan dilakukan termasuk membuka kaedah pemerolehan bahan api; pengenalan pasaran elektrik borong, perkhidmatan runcit yang lebih kompetitif dan dagangan tenaga hijau, yang memberi nilai kepada pelabur dan pengguna.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata pembaharuan yang dilaksanakan itu adalah berlandaskan objektif dan bukan didorong oleh ideologi.

Beliau berkata, ia juga dilaksanakan bagi memacu kecekapan industri merentasi rantaian nilai, yang mana akan menjadikan pengalaman pengguna yang lebih baik, harga elektrik yang munasabah dan menjana aktiviti ekonomi tambahan.

Katanya, dengan membuka persaingan pemerolehan bahan api, yang ketika ini bekalan gas dan arang batu, masing-masing dikendalikan PETRONAS dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), ia akan membantu meningkatkan kecekapan kos berikutan bahan api mewakili 42 peratus daripada tarif elektrik.

“Dengan membuka pemerolehan bahan api, ia memberi peluang kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) untuk mendapatkan bekalan bahan api pada kadar yang lebih rendah, sekali gus membolehkan penjimatan yang mana ia boleh dikongsi bersama pengguna.

“Secara keseluruhan, kecekapan akan memberi tarif yang kompetitif kepada orang ramai. Pelaksanaan pasaran bekalan bahan api yang terbuka dijangka pada suku kedua 2021,” katanya dalam satu temu bual eksklusif mengenai pelaksanaan MESI 2.0 di sini, baru-baru ini.

Bee Yin berkata, inisiatif utama lain yang akan dilaksanakan di bawah MESI 2.0 termasuk membenarkan Akses Pihak Ketiga (TPA) kepada grid, yang mana caj rangkaian akan dikenakan.

Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan pandangan undang-undang untuk melaksanakan Rangka Kerja TPA sama ada keperluan untuk mengubah peraturan sedia ada atau mewujudkan akta baharu untuk melaksanakannya.

“Jika perlu mewujudkan akta baharu, kami jangka membentangkannya pada suku keempat 2022,” katanya.

Bee Yin berkata, kerajaan akan membuka grid bagi tenaga hijau memandangkan terdapat trend ketika ini, dalam kalangan syarikat multinasional (MNC) mahu menggunakan 100 peratus elektrik yang dijana menerusi tenaga boleh diperbaharui (RE).

Beliau berkata, menjelang suku pertama 2020, perintis kontrak pihak ketiga (TPC) tenaga hijau 100 megawatt menggunakan caj rangkaian permulaan akan dilaksanakan.

Katanya, caj rangkaian permulaan itu hanya untuk dagangan tenaga hijau sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menarik MNC memilih Malaysia sebagai destinasi yang menawarkan 100 peratus RE di rantau ini.

Selain itu, Bee Yin berkata, kerajaan juga menyediakan pasaran pensijilan RE kepada pihak yang berminat untuk mendapatkan kredit karbon.

Beliau berkata, kerajaan juga akan telus dengan mendedahkan pelan perancangan tenaga setiap enam bulan bermula hujung tahun ini.

Berita Harian X