Isnin, 16 September 2019 | 10:00pm
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo (tiga dari kiri). - NSTP/Melvin Joni
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo (tiga dari kiri). - NSTP/Melvin Joni

Pupuk semangat patriotisme, tolak unsur hasutan, fitnah, rasuah

KUCHING: Rakyat perlu memupuk semangat patriotisme dan menolak segala unsur hasutan, fitnah serta rasuah yang boleh memecah-belahkan keharmonian negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata selaras dengan tema sambutan Hari Malaysia 2019, ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk memupuk semangat cinta kepada negara dan seterusnya menyemai semangat kekitaan dan perpaduan dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia.

“Kita harus mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang sekian lama dipupuk sejak kemerdekaan.

“Kita harus menghargai pengorbanan yang telah dicurahkan oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan terdahulu dan usaha-usaha mereka dalam membina satu negara yang berjaya dari segi ekonomi dan sosial,” katanya menerusi satu klip video yang ditayangkan pada sambutan Hari Malaysia 2019 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, malam ini.

Beliau berkata prinsip Rukun Negara yang menerapkan nilai murni berasaskan kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kesetiaan kepada raja dan negara, sikap toleransi antara satu sama lain dan semangat patriotisme yang jitu, mengajak semua rakyat untuk hidup bersatu padu.

“Dengan pentadbiran kerajaan yang baharu dan usaha padu rakyat Malaysia akan dapat terus memberi kemakmuran kepada negara ke arah negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Gobind juga berharap semangat menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang penuh bersejarah itu dapat menyemarakkan lagi perpaduan antara kaum.

“Marilah bersama-sama kita membentuk masa depan sebagai negara yang progresif dan memberi kesejahteraan yang mampan kepada rakyat,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X