X
Ahad, 15 September 2019 | 6:40pm
ZURAIDA pada sidang media selepas merasmikan Majlis simbolik Penyerahan Alat Pemadam Api yang disumbangkan kepada rumah panjang, di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Tabuan, Kuching. NSTP/Hazreen Mohamad
ZURAIDA pada sidang media selepas merasmikan Majlis simbolik Penyerahan Alat Pemadam Api yang disumbangkan kepada rumah panjang, di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak, Tabuan, Kuching. NSTP/Hazreen Mohamad

Sedia beli Bombardier, helikopter ambulans untuk JBPM

KUCHING: Kerajaan Pusat bersedia membeli pesawat Bombardier dan helikopter ambulans (medivac) untuk menampung keperluan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berikutan ketiadaan aset itu dalam jabatan itu setakat ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, berkata perkara itu sedang diteliti, malah ia sebahagian daripada usaha mempertingkatkan kecekapan JBPM melalui perolehan peralatan aset lebih canggih dan terkini.

“Pesawat Bombardier sangat penting memandangkan kebakaran hutan atau belukar kerap berlaku, terutama terutama ketika cuaca panas dan JBPM masih belum memiliki pesawat itu.

“Begitu juga helikopter ambulans yang sangat penting, khususnya bagi mempercepatkan bantuan untuk kejadian kebakaran di kawasan pedalaman dan luar bandar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api Kepada JBPM Sarawak, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman dan Penolong Pengarah Operasi JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii.

Sementara itu, Zuraida berkata, beliau akan mengadakan lawatan ke Itali dalam tempoh terdekat bagi melihat keberkesanan jentera atau peralatan digunakan negara itu dalam operasi bencana, terutama membabitkan kes kebakaran.

“Itali antara negara terbaik dalam menangani isu kebakaran. Jadi, kita akan ke sana untuk melihat demonstrasi model (peralatan) digunakan. Namun, pembelian kedua-dua pesawat itu masih belum dimasukkan dalam bajet tahun depan dan kita akan usahakan,” katanya.

Sementara itu, Khirudin berkata, bantuan 1,000 alat pemadam api itu akan membantu pihaknya dalam pencegahan awal kebakaran di rumah panjang.

“Lokasi kebanyakan rumah panjang yang jauh di pedalaman menyukarkan anggota kita untuk sampai awal. Maka, dengan adanya alat pemadam api itu, penduduk kampung dapat membantu memadamkan kebakaran. Ia sekali gus mengurangkan kerugian dialami. Di Sarawak, terdapat 3,977 rumah panjang yang berdaftar,” katanya.

Berita Harian X