Ahad, 15 September 2019 | 10:04am
Pengunjung bersama ahli keluarga melakukan aktiviti seperti biasa walaupun dalam keadaan jerebu dengan bacaan IPU mencecah tahap tidak sihat 170 ketika tinjauan sekitar jam 9 pagi tadi di Taman Bunga Raya, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Tangkak catat bacaan IPU tertinggi

KUALA LUMPUR: Tangkak, Johor mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) sangat tidak sihat dan tertinggi, iaitu 245 setakat jam 9 pagi tadi.

Semakan di laman web Jabatan Alam Sekitar menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) menyaksikan Kuching, Sarawak dan Bandaraya Melaka turut merekodkan bacaan IPU sangat tidak sihat, iaitu masing-masing 202 dan 212.

Bacaan IPU di 10 kawasan di sekitar Semenanjung, iaitu Port Dickson, Alor Gajah, Bukit Rambai, Segamat, Batu Pahat, Kluang, Larkin, Pasir Gudang, Rompin dan Indera Mahkota Kuantan pula berada pada tahap tidak sihat.

Keadaan sama turut berlaku di 10 kawasan di sekitar Sarawak, iaitu ILP Miri, Miri, Samalaju, Bintulu, Mukah, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan SK Kuala Baram 2 (MCAQM), selain dua lokasi di Sabah merangkumi Tawau serta Sandakan.

Sementara itu, keadaan jerebu yang melanda negara terutamanya di Johor menyebabkan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk kolej matrikulasi serta 129 sekolah di Tangkak dan 89 sekolah di Muar ditutup hari ini, membabitkan lebih 40,000 pelajar sekolah.

Masalah itu turut menjejaskan daerah Pontian di negeri itu apabila semua sekolah dan tadika turut ditutup hari ini selepas IPU mencatat bacaan 220.


Bacaan Indeks Pencemaran Udara Malaysia terkini di http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html

Berita Harian X