Sabtu, 14 September 2019 | 8:36am
Bacaan IPU semasa di http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html
Bacaan IPU semasa di http://apims.doe.gov.my/public_v2/home.html

Jerebu kembali, 6 kawasan catat IPU tidak sihat

KUCHING: Selepas tiga hari kualiti udara pulih, jerebu kembali lagi menyebabkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di enam lokasi di Sarawak mencapai tahap tidak sihat, pagi ini.

Enam lokasi terbabit ialah Kuching (200), Samarahan (166), Sri Aman (133), Sarikei (137), Sibu (133) dan Bintulu (101).

Tujuh Stesen Pengawasan Udara Automatik yang lain pula mencatat IPU sederhana iaitu Sekolah Kebangsaan Kuala Baram 2 (81); Mukah (98), Miri (81), Samalaju (93), Kapit (75), Limbang (74) dan Institut Latihan Perindustrian Miri (83).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin, berkata keadaan berjerebu dan kualiti udara tercemar itu dikenal pasti akibat kebakaran hutan di Indonesia.

Berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) sebanyak 1,528 tompok panas dikesan di negara jiran itu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,307 tompok panas dikesan di wilayah Kalimantan, sebahagian besarnya di lokasi berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia manakala 221 lagi dikesan di Sumatera.

Ismail berkata, akibat keadaan berjerebu meningkat semula, jarak pandangan turut merosot pagi ini.

“Berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi, jarak pandangan di Kuching hanya 0.7 kilometer (km), Limbang (4km), Bintulu (5km), Miri (6km) dan Sibu (8km).

“Jarak pandangan normal ialah 10km ke atas,” katanya.

Berita Harian X