Rabu, 11 September 2019 | 10:04pm
UCAPAN takziah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi entri di akaun twitter rasminya.

'BJ Habibie kawan baik' - Tun Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menganggap Presiden ketiga Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau BJ Habibie sebagai kawan baik yang sudah lama tidak ditemui.

Beliau turut berasa sedih dengan pemergian Habibie dan mengucapkan takziah kepada keluarga pemimpin itu.

“(BJ Habibie) kawan baik, saya sudah lama tak jumpa dia, saya rasa sedih... ucap takziah kepada keluarga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-35 Universiti Binary di sini, malam ini.

BJ Habibie meninggal dunia di Rumah Sakit (Hospital) Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto, hari ini berikutan pelbagai masalah kesihatan dialaminya.

Menurut anak lelakinya, Thareq Kemal yang dipetik media tempatan, bekas presiden itu meninggal dunia jam 6.01 petang waktu Indonesia Barat, selepas menjalani rawatan intensif oleh pasukan Doktor Kepresidenan Indonesia selepas dimasukkan ke hospital itu sejak 1 September lalu.

BJ Habibie, 83, adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Oktober 1999.

Sebelum ini, pada Mac tahun lalu, BJ Habibie juga menjalani rawatan intensif di Munich, Jerman akibat pelbagai komplikasi berkaitan jantung, paru-paru dan ‘asphyxia’.

1635 dibaca
Berita Harian X