Rabu, 11 September 2019 | 6:23pm

Kerajaan setuju penggabungan UMT, UniSZA

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri pada 4 September lalu bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan hari ini, berkata penggabungan itu dilihat sebagai satu daripada transformasi penyampaian pendidikan tinggi.

Katanya, ini terutama dalam memantapkan keupayaan universiti mempertingkat kedudukan sosioekonomi, selaras dengan lonjakan 10 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015 - 2025 (Pendidikan Tinggi).

“Inisiatif ini juga akan memacu pembangunan industri di Terengganu, selain menangani persaingan sesama universiti untuk mendapatkan pelajar, kakitangan dan sumber.

“Penggabungan institusi adalah satu langkah wajar dilaksanakan bagi mempertingkatkan kualiti perkhidmatan dan memberi lebih nilai tambah kepada pelajar, fakulti serta komuniti setempat.

“Ini melalui penjajaran semula tenaga kepakaran universiti dan kemudahan infrastruktur sedia ada yang boleh diguna pakai,” katanya.

Menurut kenyataan itu, perkara sama sudah dilaksanakan universiti dan kolej di beberapa negara termasuk University of Manchester dan University of Manchester Institute of Science & Technology (UMIST) di United Kingdom.

“Penggabungan institusi juga berlaku di Australia dan Amerika Syarikat yang mana penggabungan institusi pendidikan tinggi dilaksanakan untuk meningkatkan tahap keberkesanan, jangkauan, nilai serta daya saing sesebuah institusi baharu.

“Kementerian amat positif dengan cadangan penggabungan ini dan kini sedang menyediakan kerangka bagi pelaksanaannya.

“Sebuah Jawatankuasa khas sedang dibentuk yang dianggotai wakil dalam kalangan pegawai pentadbir, pensyarah, pelajar, dan pelbagai agensi, kementerian serta pihak berkepentingan bagi menggerakkan penggabungan ini yang dijangka mengambil masa selama enam bulan,” katanya.

1436 dibaca
Berita Harian X