Rabu, 11 September 2019 | 5:42pm
JAJARAN Gunung Ledang diselaputi jerebu dilihat dari kediaman peniaga runcit, Halimah Othman, di Taman Pelangi Jementah, Segamat. - NSTP/Ahmad Ismail

Gunung Ledang hilang dari pandangan

TANGKAK: Situasi jerebu yang mula melanda daerah ini sejak semalam, menyebabkan Gunung Ledang yang menjadi mercu utamanya ‘ghaib’ daripada pandangan.

Tinjauan BH di delta kawasan penanaman padi di Kampung Sawah Ring yang menjadi antara lokasi terbaik untuk melihat panorama indah Gunung Ledang, mendapati ia sudah tidak kelihatan seperti biasa apabila keadaan jerebu mengehadkan jarak penglihatan.

Penduduk Kampung Sungai Baru, Mohd Azrin Arshad, 38, berkata kawasan sawah di Kampung Sawah Ring ini sememangnya menjadi lokasi utama kepada penduduk atau pengunjung ke daerah ini untuk melihat pemandangan keseluruhan Gunung Ledang.

“Saya kerap juga ke kawasan ini bersama keluarga ketika ada waktu lapang. Memang betul di sini menjadi lokasi pilihan ramai untuk menikmati keindahan semula jadi kawasan sawah padi yang berlatar belakangkan Gunung Ledang.

“Namun, keadaan berjerebu ini menyebabkan Gunung Ledang ini seolah-olah hilang. Selain itu, ramai juga yang ke sini tetapi sejak keadaan cuaca yang tidak berapa baik ini, ramai yang cuba mengelak daripada berada di luar,” katanya ketika ditemui BH di sini, hari ini.

Tangkak menjadi satu-satunya daerah di Johor yang dilanda jerebu apabila mencatat tahap tidak sihat semalam. Sehingga jam 4 petang tadi, indeks pencemaran udara di daerah ini mencatat bacaan 128 di paras tidak sihat.

Sementara itu, Pelajar Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, Wan Juliana Wan Sulaiman, 19, berkata ramai pengunjung akan ke kawasan Kampung Sawah Ring ini kerana gunung lagenda itu akan jelas kelihatan ketika keadaan cuaca normal.

“Memang saya agak kerap juga melalui kawasan ini dan panorama indah Gunung Ledang terutama pada waktu pagi dan petang sememangnya amat cantik sehingga menjadi tarikan orang ramai.

“Namun, selepas kejadian jerebu ini, kelibat gunung bersejarah ini sukar dilihat

akibat jarak penglihatan yang semakin berkurangan. Apa pun, saya berharap masalah ini akan pulih seperti sedia kala,” katanya.

Ainun Maisarah Jamil, 19, pula berkata keadaan cuaca berjerebu juga agak teruk kerana pemandangan gunung tertinggi di selatan Malaysia itu kelihatan agak samar berbanding biasa.

“Kalau di Kampung Sawah Ring ini kita lihat Gunung Ledang sudah tidak kelihatan tetapi keadaan di bandar Tangkak yang hanya terletak tidak jauh dari kawasan pelancongan itu pun sudah tidak beberapa jelas. Kalau lihat pun macam keadaan agak samar kerana dilindungi oleh asap jerebu,” katanya.

662 dibaca
Berita Harian X