Rabu, 11 September 2019 | 2:11pm

Majoriti rakyat Malaysia setuju tutup media sosial ketika krisis

KUALA LUMPUR: Sebanyak 75 peratus responden rakyat Malaysia bersetuju supaya kerajaan menutup platform media sosial seperti WhatsApp, Facebook, WeChat dan Twitter buat sementara waktu ketika tercetus krisis atau serangan pengganas.

Dapatan itu hasil kaji selidik firma penyelidikan bebas, Ipsos Global Advisor (Ipsos) yang mendapati majoriti responden rakyat Malaysia mahu kerajaan menutup sementara media sosial itu bagi mengekang penyebaran berita palsu ketika krisis.

Kajian yang dijalankan antara 24 Mei hingga 7 Jun lalu membabitkan hampir 20,000 responden dari 27 negara itu, mendapati Malaysia berada pada kedudukan kedua selepas India (88 peratus) dalam penerimaan penutupan media sosial ketika krisis.

Negara lain yang turut menyokong penutupan sementara media sosial termasuk Arab Saudi (73 peratus), China (72 peratus), Great Britain (69 peratus), Australia (65 peratus) dan Amerika Syarikat (65 peratus).

“Kajian juga mendapati Malaysia negara ketiga tertinggi selepas India dan Arab Saudi yang mempercayai kerajaan masing-masing untuk membuat keputusan tentang penutupan platform media sosial.

“Hampir dua pertiga warga Malaysia (74 peratus) mempercayai keputusan kerajaan tentang tempoh dan kesesuaian penutupan platform media sosial bagi mengekang penyebaran berita palsu semasa krisis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bulan lalu, Kerajaan India dilaporkan menyekat perkhidmatan telefon dan internet bagi menghalang tunjuk perasaan dan keganasan di Kashmir selepas kerajaan memansuhkan autonomi wilayah itu.

Meskipun ada yang menyokong penutupan berkenaan, 62 peratus warga dunia tidak bersetuju dengan penutupan sementara media sosial semasa krisis kerana percaya ia adalah sumber utama berita dan maklumat untuk orang ramai.

Menurut kenyataan itu lagi, sebanyak 54 peratus rakyat Malaysia bersetuju pengguna mampu mengenal pasti fakta atau penipuan dalam media sosial, dan 59 peratus warga Malaysia percaya syarikat media sosial akan memastikan fakta kandungan yang dikongsi menerusi platform masing-masing ketika krisis.

Selain itu, 69 peratus warga Malaysia berpendapat penutupan platform media sosial tiada gunanya kerana ada banyak cara untuk memintas penutupan berkenaan.

“Kajian juga mendedahkan tahap pendidikan muncul sebagai faktor penting dalam kepercayaan kepada media sosial. Negara yang mempunyai tahap pendidikan lebih tinggi paling tidak mungkin menganggap media sosial sebagai sumber berita dan maklumat paling tepat.

“Warga global dengan tahap pendidikan yang lebih tinggi tidak begitu menyokong penutupan media sosial,” katanya.

Berita Harian X