Rabu, 11 September 2019 | 12:43pm
SELURUH negara diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka.

Jerebu: Seluruh Malaysia diisytihar kawasan larangan pembakaran terbuka

PUTRAJAYA: Seluruh negara diisytiharkan sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka kecuali pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, gril/barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar (flaring), berkuat kuasa serta-merta sehingga Monsun Barat Daya berakhir.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar, mengeluarkan larangan itu susulan keadaan jerebu yang melanda negara sejak 5 September hingga kini.

Beliau berkata, larangan itu adalah bawah kuasa yang diperuntukkan kepada Ketua Pengarah Alam Sekitar mengikut Seksyen 29AA (2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Semua pihak diminta tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norlin berkata, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Justeru, katanya, orang ramai diminta memberi kerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil serta membuat laporan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang dikesan.

Orang ramai boleh menghubungi JAS menerusi talian 03-88891972 atau 1-800-88-2727 dan JBPM melalui talian 999 untuk melaporkan aktiviti pembakaran terbuka. – BERNAMA

Berita Harian X