Selasa, 10 September 2019 | 1:31pm
Keadaan jerebu yang menjejaskan pemandangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar bandar Ainsdale, sehingga jam 12 tengahari hari ini dengan bacaan IPU direkodkan sebanyak 119 iaitu tahap tidak sihat. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

3 kawasan di Negeri Sembilan catat IPU tidak sihat

SEREMBAN: Jerebu mula melanda Negeri Sembilan apabila tiga stesen di Seremban, Nilai dan Port Dickson mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, hari ini.

Ia berdasarkan bacaan dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) pada laman web http://apims.doe.gov.my setakat jam 1 tengah hari tadi.

Nilai merekodkan bacaan IPU 151, manakala Seremban (121) dan Port Dickson (105).

Kualiti udara di negeri ini semakin buruk sejak petang semalam dengan bacaan IPU daripada paras baik kepada sederhana dan tidak sihat pagi semalam.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Isnin lalu mengeluarkan kenyataan kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 adalah dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas berbahaya.

Berita Harian X