SHAH ALAM: Lima stesen di negeri ini mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat sejak jam 8 pagi tadi.
Berdasarkan bacaan yang dipaparkan laman web http://apims.doe.gov.my, Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPU tidak sihat di stesen berkenaan meningkat pada jam 9 pagi.
Johan Setia merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 159 pada jam 8 pagi dan meningkat kepada 160 pada jam 9 pagi.
Petaling Jaya pula mencatatkan IPU 134 pada jam 9 pagi; Shah Alam (125); Banting (123); Klang (119).
Bagaimanapun, stesen Kuala Selangor masih menunjukkan IPU sihat iaitu 93.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada Isnin mengeluarkan kenyataan bahawa kebakaran hutan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia menyebabkan jerebu merentas sempadan dan memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di semua kawasan di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak.
Selain itu, kebakaran belukar bagi tujuan pertanian yang berlaku di Jalan 9, Johan Setia, Klang memberi kesan kepada peningkatan bacaan IPU di stesen Johan Setia, Klang dan jerebu setempat di Bandar Putera 2, Klang.
Pemandangan Bandaraya Shah Alam pada jam 8 pagi kelihatan kabur akibat jerebu yang melanda negara. Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Shah Alam (123) pada tahap tidak sihat. - Foto Roslin Mat Tahir pic.twitter.com/DWr0ghcPBw— Berita Harian (@bharianmy) September 10, 2019
“JAS Selangor sedang mencari pemilik tanah dan meningkatkan tindakan penguatkuasaan serta aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.
“Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sudah diaktifkan bagi menyelaraskan tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara,” katanya.