Selasa, 10 September 2019 | 9:42am

Jerebu di Semenanjung semakin serius

KUALA LUMPUR: Masalah jerebu di Semenanjung dikhuatiri semakin serius hari ini, apabila 11 lokasi di beberapa negeri mencatatkan skala bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat, berdasarkan data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), pagi ini.

Setakat jam 7 pagi tadi, dua lokasi di Kuala Lumpur mencatatkan paras IPU tidak sihat dengan Batu Muda di paras 138, Cheras (130) manakala Putrajaya mencatat IPU di paras 126.

Sementara itu di Selangor, Johan Setia mencatat paras IPU di tahap 158, Petaling Jaya (127), Shah Alam (121), Klang (117), dan IPU di Banting di paras 123.

Bacaan IPU juga semakin meningkat di dua lokasi di Negeri Sembilan iaitu Nilai dengan IPU di paras 130, manakala Seremban di paras 110.

Di Tangkak, Johor, IPU yang dicatatkan adalah di paras 109, dan IPU di Rompin, Pahang mencatat peningkatan mendadak pagi ini kepada 197 daripada 98 pada jam 9 malam tadi.

Berdasarkan laporan APIMS pagi ini juga, Sri Aman, Sarawak mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat di paras 202 manakala satu lokasi mencatat paras IPU tidak sihat iaitu Samarahan di paras 132.

PEMANDANGAN Bandaraya Shah Alam kelihatan kabur akibat jerebu yang melanda negara. - Foto Roslin Mat Tahir
Pemandangan Bandaraya Shah Alam pada jam 8 pagi kelihatan kabur akibat jerebu. Bacaan IPU ketika ini adalah 123 (tahap tidak sihat). - NSTP/Roslin Mat Tahir
Keadaan jerebu di sekitar Jalan Kampung Johan Setia, Klang dengan bacaan IPU pada jam 10 pagi adalah 160 iaitu paras tidak sihat. - NSTP/Faiz Anuar
Pemandangan di Putrajaya berjerebu dengan bacaan IPU 130 (tidak sihat) ketika dirakam pada jam 8.30 pagi. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
5 kawasan di Selangor catat IPU tidak sihatKeadaan Bandaraya Kuala Lumpur yang berjerebu ketika dirakam pada jam 10.20 pagi. - NSTP/Owee Ah Chun
Berita Harian X