Isnin, 9 September 2019 | 5:13pm
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran Datuk kepada Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) Datuk Dr Abd Latif Mohmod pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tahun 2019 di Istana Negara. - Foto BERNAMA

Agong spontan turun singgahsana kurnia anugerah

KUALA LUMPUR: Tindakan spontan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menuruni anak tangga singgahsana untuk mengurniakan darjah kebesaran membuatkan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Datuk Dr Abd Latif Mohmod, berasa terharu dan dihargai.

Ditemui pemberita selepas istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan 2019 di Istana Negara hari ini, Abd Latif sama sekali tidak menduga Seri Paduka akan bertindak sedemikian selepas melihatnya bertongkat akibat kecederaan dialami 10 tahun dahulu ketika bertugas.

“Saya terharu. Mungkin Yang di-Pertuan Agong rasa saya susah untuk naik (anak tangga singgahsana) sebab berjalan pakai tongkat.

“Sebenarnya saya terperanjat. Tuanku beri signal (isyarat) jangan naik (anak tangga singgahsana) dan bertitah ‘Tidak apa, saya turun’,,” katanya sambil menyifatkan tindakan Seri Paduka itu sebagai penghargaan daripada seorang raja yang berhati mulia kepada rakyat yang cuba berbakti kepada negara.

Abd Latif berkata, Al-Sultan Abdullah sempat bertanya keadaan dirinya: “Dah lama ke sakit, boleh berjalan ke?”

Menjawab pertanyaan Seri Paduka, Abd Latif menjawab‘beliau boleh berjalan tetapi tidak boleh berdiri lama kerana pernah jatuh ketika bekerja.

Pada istiadat pengurniaan hari pertama hari ini, Abd Latif yang akan bersara tahun depan, dikurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Tahun ini, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 795 individu daripada pelbagai kategori.

“Penghargaan ini adalah kurniaan terbaik yang saya dapat di peringkat Persekutuan. Ini membuktikan kita perlu terus berbakti dan berjasa bukan untuk diri sendiri tetapi untuk negara,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X