Isnin, 9 September 2019 | 12:21pm

Kerajaan tekad bebaskan negara daripada rasuah - PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, kerajaan komited untuk memulihkan negara supaya bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri berkata, ia akan dilaksanakan dengan mengukuhkan pentadbiran negara berdasarkan kepada prinsip ‘rule of law’ dan pemisahan kuasa seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Patik berharap negara akan terus bebas daripada pelbagai bentuk penyelewengan untuk membolehkan Malaysia Baharu dapat dibangun dan dimajukan dengan lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mempersembahkan ucapan tahniah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan sentiasa menghormati dan terus mempertahankan kedaulatan Institusi Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta keistimewaan orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, kerajaan menyedari ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik dunia yang semakin mencabar termasuk dalam bentuk halangan kepada perdagangan bebas serta ketidakstabilan mata wang global, boleh memberi kesan kepada negara.

“Untuk mengatasi keadaan itu, kerajaan akan sentiasa melakukan pelbagai strategi di peringkat domestik dan antarabangsa untuk menghadapi cabaran berkenaan,” katanya.

Dr Mahathir turut memaklumkan usaha kerajaan untuk memulihkan kedudukan kewangan dan ekonomi negara serta melunaskan janji yang diberikan kepada rakyat semakin berhasil.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pelbagai inisiatif menerusi visi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 telah mula dilaksanakan bagi memastikan kekayaan negara dapat diagihkan dengan menyeluruh ke arah merancakkan pertumbuhan ekonomi, seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-62 pada 31 Ogos lalu yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ telah menyerlahkan kesepakatan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Beliau berkata, ia sekali gus menunjukkan rakyat Malaysia boleh duduk bersama berkongsi sesuatu nilai yang dihargai secara harmoni walaupun berlainan kaum, berbeza latar belakang dan kepercayaan.

“Ini juga adalah manifestasi perpaduan rakyat Malaysia yang akan terus dipertahan dan diperkukuhkan. Sesungguhnya segala program dan projek pembangunan hanya dapat berhasil dengan sebaiknya jika negara aman dan tersusun rapi.

“Rakyat juga kini semakin matang dalam menghadapi ancaman yang mampu memecah-belahkan perpaduan. Justeru, Kerajaan Tuanku akan terus memperkukuhkan perpaduan dan melaksanakan tanggungjawabnya untuk memastikan keharmonian kaum terus dipelihara,” katanya.

Menyentuh agenda pembangunan negara, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan terus membabitkan golongan anak muda dan menerapkan mereka dengan semangat kesukarelawan serta keusahawanan selain nilai murni supaya menjadi lebih produktif juga berdaya saing untuk menghadapi perkembangan Revolusi Industri 4.0.

Dalam mengejar arus pemodenan itu, katanya kerajaan akan terus memastikan alam sekitar sentiasa terpelihara dan tidak diabaikan.

“Pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap pencemaran alam sekitar akan diambil tindakan tegas yang sewajarnya dan untuk mengelak perkara ini terus berlaku, semua pihak perlu berperanan penting untuk melindungi alam sekitar,” katanya.

Dr Mahathir turut merakamkan ucapan sembah tahniah kepada Al-Sultan Abdullah sempena Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka, hari ini.

“Patik, kerajaan dan rakyat sekalian juga memohon untuk menyembah ikrar taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada Kebawah Duli Tuanku.

Semoga Kebawah Duli Tuanku, Raja Permaisuri Agong dan keluarga sentiasa dilimpahi taufik dan hidayah oleh Allah, dipanjangkan umur, diberkati dengan kesihatan dan sejahtera selalu,” katanya. - BERNAMA

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memberi ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2019 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X