Isnin, 9 September 2019 | 11:08am
Tugas paling mendesak bagi rakyat Malaysia kini tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan fahaman politik adalah memastikan keharmonian kaum dan agama kekal utuh. - Foto hiasan

Perpaduan kaum di Malaysia perlu terus utuh

KUALA LUMPUR: Tugas paling mendesak bagi rakyat Malaysia kini tanpa mengira perbezaan bangsa, agama dan fahaman politik adalah memastikan keharmonian kaum dan agama kekal utuh.

Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perkara itu hanya boleh dicapai jika semua pihak menolak sebarang bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

Berikutan itu, katanya, penting bagi semua rakyat yang sederhana dan patriotik untuk terus memperjuangkan usaha membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

“Kita mampu menggapai impian jika kita bersatu padu selain mempunyai pelan jangka panjang yang baik serta berusaha dengan bersungguh-sungguh.

“Saya berharap kita dapat mempunyai lebih banyak detik-detik perpaduan seperti ini dan dapat mengekalkan semangat patriotisme dan perpaduan yang sama dalam apa juga jenis sukan dan aktiviti riadah yang lain.

“Kita perlu mengekalkan semangat perpaduan dan muhibah dan patriotisme bukan sahaja ketika merayakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Lam Thye berkata, perkara itu perlu kerana perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya adalah cabaran terbesar negara pada tahun mendatang.

“Cabaran ini kunci utama kelangsungan hidup kita sebagai sebuah negara. Amat dikesalkan jika ada sesiapa yang membuat kenyataan panas dan provokatif yang boleh membawa kepada konflik dan ketegangan serius yang boleh menjejaskan keamanan, keharmonian dan perpaduan negara.

“Sebagai rakyat Malaysia bertanggungjawab dan patriotik, adalah menjadi kewajipan kita untuk mempertahankan keamanan dan keharmonian dengan menahan diri daripada melakukan perbuatan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.

“Apa yang Malaysia perlukan hari ini bukan wira etnik tetapi pembina jambatan etnik dan duta kedamaian yang dapat membantu memupuk semangat muhibah, saling menghormati, kedamaian dan keharmonian.

“Setiap orang mempunyai peranan masing-masing untuk menyatukan Malaysia berdasarkan nilai murni diajar semua agama dan kaum dan bukannya mengamalkan dan mengeksploitasi sentimen etnik,” katanya.

Beliau berkata, perpaduan sebenarnya hadiah tidak ternilai, perlu dipelihara dan dihargai semua rakyat berbilang kaum seperti Malaysia.

“Adakah kita sanggup melihat perpaduan yang dibina selama ini dimusnahkan oleh sikap perkauman dan tidak menghormati agama orang lain. Saya teringin untuk melihat keharmonian kaum dan semangat muhibah yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum di tahun 70-an, 80-an dan 90-an.

“Semangat muhibah terhasil apabila rakyat yang berasal dari etnik dan agama yang berbeza saling menghormati antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati dan menyedari sensitiviti agama dan budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum.

“Di Malaysia, perpaduan dalam komuniti pelbagai kaum sebahagian daripada sejarah dan warisan kita. Ia menjadi sumber penting integrasi kaum selama bertahun-tahun dan pastinya memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia tempat yang harmoni untuk hidup, belajar, bekerja dan bermain,” katanya.

Justeru, Lam Thye berkata semua pemimpin politik dan semua rakyat Malaysia mesti mengamalkan prinsip kesederhanaan yang menjadi kunci kepada pembangunan negara.

“Semua pembuat, perancang dan pelaksana dasar pula perlu berpegang kepada prinsip kesederhanaan supaya pemikiran dan tindakan mereka selari dengan matlamat dan objektif Rukun Negara serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Berita Harian X