Ahad, 8 September 2019 | 8:59pm

Kebun haram warga asing

HULU SELANGOR: Bagi penduduk Bukit Beruntung di sini, tasik dikelilingi semak-samun yang kelihatan tidak diselenggara berdekatan laluan keluar plaza tol Lebuhraya Utara Selatan di bandar ini, tidak ada sebarang tarikan kecuali kepada pemancing.

Namun, semak-samun itu sebenarnya melindungi kawasan pertanian komersial dengan anggaran keluasan 60 hektar (150 ekar) yang diusahakan kira-kira 80 warga asing secara haram daripada pandangan umum.

Berbekalkan maklumat awam, wartawan BH meninjau kawasan terbabit sebelum mendapati tanah berbukit dan lembah di situ, diteroka pendatang asing dengan pelbagai tanaman sayur-sayuran.

Paya yang terletak di tepi jalan utama itu, antara sumber air utama kawasan pertanian di situ, apabila disedut menggunakan enjin pengepam berkuasa tinggi.

Tinjauan BH mendapati, sekurang-kurangnya lima lagi pam berkuasa tinggi dipasang pada tebing sungai sekitar kawasan berkenaan bagi tujuan sama, selain penggunaan traktor untuk kerja pembajakan tanah di situ.

Kumpulan pekerja kebun sayur terdiri daripada warga Bangladesh itu, mendiami rumah kongsi yang dibina secara berselerak sekitar tanah diteroka secara haram itu sejak 10 tahun lalu.

Rumah kongsi berkenaan dibina berdekatan lorong tikus menuju ke kawasan perumahan berdekatan dipercayai untuk memudahkan pendatang tanpa izin meloloskan diri setiap kali ada pemeriksaan pihak berkuasa.

Mereka dipercayai mengambil kesempatan meneroka tanah di situ berikutan kawasan berkenaan belum dibangunkan kerajaan dan pemiliknya, kerana sebahagian tanah terbabit terletak di bawah laluan pencawang kabel elektrik berkuasa tinggi.


SEBAHAGIAN tanah kerajaan dan persendirian yang diceroboh warga Bangladesh di Bukit Beruntung, sejak 10 tahun lalu.

Kumpulan warga asing itu dipercayai bekerja di bawah kawalan sekurang-kurangnya lima lelaki Bangladesh, yang bertindak sebagai majikan selepas kawasan diterokai itu dibahagikan kepada plot tertentu.

Mereka dipercayai berani bertindak demikian kerana dinaungi seorang lelaki tempatan bergelar Datuk, yang mendakwa aktif dalam sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kepenggunaan di negara ini.

Antara sayur-sayuran utama yang ditanam di kawasan itu ialah bayam merah, sawi, pasli, terung, bendi, peria, timun dan labu yang dihantar sepenuhnya ke Pasar Borong Selayang setiap kali tuaian.

Setiausaha Pertubuhan Sahabat Hulu Selangor, Ramlee Mohd Nasir, 38, berkata pihaknya menyedari pencerobohan warga Bangladesh terhadap tanah persendirian dan kerajaan itu selepas seorang ahli pertubuhan itu diberi peluang menyewa tanah seluas 596,369 meter persegi atau 58.8 hektar (147 ekar) milik syarikat swasta di situ sejak Julai lalu.

Beliau berkata, susulan kelulusan sewaan itu, ahli berkenaan mengajak pertubuhan terbabit untuk bersama-sama membangunkan kawasan berkenaan bersama ahli pertubuhan mereka itu yang terdiri daripada penduduk dan peniaga kecil tempatan di sekitar bandar ini.


PEKERJA warga Bangladesh membasuh sayur-sayuran di sungai di kawasan tanah yang diceroboh.

“Bagaimanapun, ketika meninjau kawasan baru-baru ini, kami terkejut mendapati sebahagian besar atau kira-kira 40 hektar (100 ekar) daripada tanah yang disewa itu sudah diceroboh warga Bangladesh yang menjalankan projek pertanian di sini.

“Apabila kami memberi notis pengosongan kawasan dan membuat laporan polis mengenai pencerobohan ini, seorang lelaki tempatan bergelar Datuk tampil membela warga Bangladesh yang menceroboh ini.

“Selain kawasan tanah yang kami sewa ini, warga asing ini turut menceroboh tanah kerajaan dan rizab yang terletak bersebelahan termasuk sekitar kawasan di bawah laluan kabel hantaran elektrik,” katanya.

Semakan BH berdasarkan pelan pembangunan Bukit Beruntung mendapati, kawasan diceroboh itu membabitkan tanah milik Pentadbir Tanah dan Galian (PTG) Hulu Selangor, Menteri Besar Incorporated (MBI), syarikat swasta, rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan rizab masjid serta rizab sekolah.

Ramlee berkata, selain polis, pihaknya juga sudah membuat laporan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Imigresen mengenai kehadiran warga asing Bangladesh di situ, namun setakat ini tiada tindakan diambil.


ANTARA sayur-sayuran yang ditanam warga Bangladesh.

Katanya, kegagalan pihak berkuasa bertindak dan seolah-olah membiarkan warga Bangladesh terus mendiami kawasan itu, membuatkan tuntutan pertubuhan terbabit supaya mereka mengosongkan kawasan berkenaan langsung tidak diendahkan.

“Malah, lelaki tempatan yang menjadi penaung kepada warga asing itu, mencabar supaya kami membawa kes ini ke mahkamah dengan alasan mereka sudah lama bertapak di situ, sedangkan sudah terbukti mereka menceroboh tanah milik persendirian dan kerajaan di kawasan ini.

“Kami menuntut ketegasan kerajaan dalam hal ini kerana selama ini pihak berkuasa tempatan termasuk pejabat tanah dengan tegas bertindak terhadap mana-mana penduduk atau peniaga tempatan tanpa lesen, mereka sewajarnya tegas terhadap pencerobohan tanah oleh warga asing ini.

“Kami berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyiasat pencerobohan ini sama ada wujud sebarang penyalahgunaan kuasa atau rasuah membabitkan pihak tertentu hingga warga asing bertindak ‘besar kepala’ di sini,” katanya.

Ramlee berkata, pihaknya bercadang mengusahakan tanah yang disewa itu bersama ahli pertubuhan yang terdiri daripada penduduk tempatan seramai hampir 200 orang dengan sebahagiannya terdiri daripada golongan asnaf.


ANTARA jentera yang digunakan di kawasan ladang haram.

Ketika meninjau kawasan pertanian itu pada Ahad lalu, BH terserempak seorang pekerja Bangladesh berusia 34 tahun, yang mendakwa sudah bekerja di kebun sayur itu sejak lapan tahun lalu.

Dia mendakwa dibayar gaji sebanyak RM1,200 sebulan dan tinggal di rumah kongsi yang dibina dalam kawasan kebun sayur terbabit.

“Saya bersama 10 rakan dari Bangladesh bekerja dengan seorang tauke yang juga berasal dari Bangladesh. Di kebun, kami tanam peria, sawi dan bayam,” katanya yang mengakui hanya sesekali keluar ke pekan Bukit Beruntung atau Bukit Sentosa berdekatan untuk membeli kelengkapan.

Ketika melewati sebuah kebun sayur dalam perjalanan keluar dari kawasan pertanian itu, penulis bertembung pula seorang lelaki tempatan sedang membersihkan sebuah lori.

Sejurus disapa, lelaki terbabit mengakui bekerja dengan seorang lelaki Bangladesh yang mengusahakan kawasan kebun seluas kira-kira lapan hektar (20 ekar) dengan bantuan enam pekerja senegara di situ.

“Tugas saya hanya memandu lori ini untuk menghantar muatan berisi 30 hingga 35 bakul sayur ke Pasar Borong Selayang setiap hari. Kerja mengangkat atau menurunkan bakul berisi sayur dari lori ini dilakukan oleh pekerja Bangladesh lain,” katanya.

“Semua kebun sayur di sini memang dikuasai warga Bangladesh. Saya pun hairan macam mana mereka boleh berkebun di sini tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya yang mendakwa dibayar gaji RM75 sehari bagi tugas itu.

Berita Harian X