Ahad, 8 September 2019 | 11:38am
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu (empat kanan) bersama tetamu menunjukkan isyarat peace selepas merasmikan larian ‘Run For Peace' anjuran Persatuan Soka Gakkai Malaysia (SGM) di Padang Besar Klang Jaya, Klang. - Foto Roslin Mat Tahir

Kes kematian komando masih disiasat - Menteri

KLANG: Siasatan berhubung kes kematian anggota komando, Mejar Mohd Zahir Armaya, ketika melakukan aksi demonstrasi di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Rabu lalu, diharap dapat disiapkan secepat mungkin.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung insiden itu.

“Polis masih menyiasat dan saya yakin tidak mengambil masa lama,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Run For Peace 2019 di Padang Besar Taman Klang Jaya di sini, hari ini.

Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon dan pelawak terkenal, AR Badul, meninggal dunia selepas terkena tembakan jarak dekat ketika melakukan aksi demonstrasi sempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu pada jam 8.40 pagi, Rabu lalu.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, berkata pihak polis akan menjalankan siasatan penuh berhubung insiden berkenan.

Seorang anggota tentera disiasat berhubung insiden itu mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohamad berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi bantuan sewajarnya kepada balu Allahyarham Mohd Zahir.

“Sudah menjadi kebiasaan kepada ATM untuk membantu keluarga kepada mana-mana pegawai dan anggotanya yang terkorban.

“ATM ada pelbagai bantuan yang akan disalurkan kepada balu Allahyarham,” katanya.

1235 dibaca
Berita Harian X