Jumaat, 6 September 2019 | 12:51pm
Sebanyak 218,000 jawatan kosong atau 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 8.6 juta jawatan dalam sektor swasta dicatatkan pada suku kedua tahun ini. - Foto hiasan

218,000 jawatan kosong direkodkan suku kedua 2019

KUALA LUMPUR: Sebanyak 218,000 jawatan kosong atau 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 8.6 juta jawatan dalam sektor swasta dicatatkan pada suku kedua tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata jumlah keseluruhan jawatan dalam sektor swasta itu meningkat 145,000 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, kadar jawatan diisi adalah sebanyak 8.4 juta atau 97.5 peratus dan sebanyak 27,000 jawatan baharu diwujudkan pada tempoh sama.

“Jawatan dalam kategori separuh mahir merangkumi 5.4 juta jawatan, kekal sebagai komponen terbesar mewakili 62.3 peratus.

“Ini diikuti kategori mahir (24.4 peratus) dan berkemahiran rendah (13.3 peratus). Dari segi jawatan diwujudkan, kategori separuh mahir mewakili 48.5 peratus (13,200), diikuti 44.7 peratus bagi kategori mahir dan 6.8 peratus kategori berkemahiran rendah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, 51.6 peratus jawatan di sektor swasta tertumpu pada sektor perkhidmatan, diikuti 26.3 peratus jawatan di sektor pembuatan, pembinaan (15.2 peratus), pertanian (5.9 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (satu peratus).

Katanya, daripada keseluruhan jumlah kekosongan jawatan dicatatkan, sebanyak 55.6 peratus adalah dalam sektor pembuatan dan 20.1 peratus bagi sektor perkhidmatan.

Bagi pewujudan jawatan baharu pula, katanya, sebanyak 50.4 peratus adalah dalam sektor perkhidmatan, diikuti pembuatan (20.8 peratus) dan pembinaan (19.6 peratus).

“Sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan kadar tertinggi pengisian jawatan pada 99.6 peratus, diikuti sektor perkhidmatan (99 peratus) dan pembinaan (98.3 peratus).

“Sektor pembuatan dan pertanian pula masing-masing merekodkan kadar pengisian jawatan pada 94.7 peratus dan 94 peratus,” katanya.

Semua statistik itu boleh didapati menerusi laporan Statistik Guna Tenaga Suku Tahun Kedua 2019 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.

Berita Harian X