Rabu, 4 September 2019 | 7:40pm
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya. - Foto NSTP
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya. - Foto NSTP

Agong, Permaisuri zahir ucapan takziah

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, baginda berdua menzahirkan rasa simpati dan sedih selain berharap keluarga Allahyarham yang meninggal dunia ketika melakukan tugasan rasmi di Kem Lok Kawi, Sabah hari ini, tabah menghadapi dugaan.

“Seri Paduka berdua mendoakan supaya roh Allahyarham dirahmati Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, turut menzahirkan penghargaan atas jasa dan sumbangan Allahyarham yang berkhidmat sebagai pegawai komando 11 Rejimen Gerak Khas,” katanya.

Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.
Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya.

Terdahulu, BH melaporkan acara pelancaran Divisyen Kelima dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia di Kem Lok Kawi, pagi tadi bertukar tragedi apabila seorang pegawai yang melakukan gimik operasi maut terkena tembakan.

Kejadian berlaku pada jam 8.40 pagi apabila mangsa berusia 36 tahun berlakon sebagai pengganas dengan memakai baju kalis peluru dan ditembak.

Bagaimanapun, tembakan itu menyebabkan mangsa rebah berlumuran darah sebelum diberi bantuan kecemasan oleh anggota tentera lain dan dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans.

Berita Harian X