X
Selasa, 3 September 2019 | 5:45pm
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk enam, kiri) bergambar ketika menghadiri dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia, melibatkan 28 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (duduk enam, kiri) bergambar ketika menghadiri dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia, melibatkan 28 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja hari ini. - Foto BERNAMA

Usahawan Malaysia perlu manfaatkan kemudahan DTA

PHNOM PENH: Usahawan Malaysia perlu lebih berani meneroka peluang perniagaan dan pelaburan di peringkat global bagi membantu usaha memperkukuhkan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata banyak peluang perniagaan dan pelaburan menguntungkan di luar negara yang berpotensi dimanfaatkan oleh usahawan tempatan.

Katanya, sasaran itu tidak mustahil untuk dicapai kerana pelbagai kemudahan disediakan kerajaan melalui agensi berkaitan bagi membantu usahawan tempatan, seterusnya menyumbang kembali kepada usaha pengukuhan ekonomi negara.

“Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA) yang ditandatangani bersama negara anggota ASEAN, dengan Kemboja adalah negara terakhir menandatanganinya, memudahkan lagi aktiviti perniagaan dan pelaburan untuk usahawan kita.

“Ia membantu mengurangkan beban kos yang terpaksa ditanggung komuniti perdagangan kita setiap kali mahu berniaga atau melabur, termasuklah di Kemboja. Maka, kita berharap lebih ramai usahawan kita mencari peluang niaga yang menguntungkan di luar negara, terutama di ASEAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan rasminya ke Kemboja, di hotel penginapannya, di sini, hari ini.

Malah, pemeteraian perjanjian itu adalah kemuncak lawatan rasmi Dr Mahathir ke negara ini susulan kesepakatan yang diperoleh bersama rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Sen.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menghadiri dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia, melibatkan 28 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja hari ini. - Foto BERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) menghadiri dialog dengan ahli perniagaan dan pelabur Malaysia, melibatkan 28 syarikat Malaysia yang beroperasi di Kemboja hari ini. - Foto BERNAMA

Sementara itu, Dr Mahathir secara keseluruhannya berpuas hati dengan prestasi dagangan Malaysia di Kemboja yang menyaksikan lebih 400 syarikat tempatan beroperasi di negara ini dalam pelbagai sektor perniagaan dan pelaburan merangkumi perbankan, telekomunikasi, kejuruteraan, perhotelan dan makanan.

“Kemboja memiliki banyak potensi untuk usahawan kita mempertingkatkan operasi perniagaan dan pelaburan mereka, terutama dalam penyediaan bekalan air bersih dan terawat.

“Mereka memiliki banyak sungai besar, tetapi tidak mempunyai kepakaran dan pengalaman memproses air bersih.

“Ini peluang yang cukup baik untuk syarikat kita yang memiliki kepakaran dalam bidang itu untuk mengembangkan operasi mereka di Kemboja,” katanya.

Beliau berkata, terdapat juga permintaan untuk PETRONAS mengembangkan sayapnya ke Kemboja bagi membantu membangunkan industri minyak dan gas mereka.

“Selain air bersih, Kemboja turut mengimport minyak dan gas untuk kegunaan mereka,” katanya.

Selepas Kemboja, Dr Mahathir dijadualkan berlepas ke Vladivostok, Russia bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur 2019, esok.

Beliau turut diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan dan Antarabangsa, Datuk Darell Leiking.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X