Selasa, 3 September 2019 | 4:56pm
DATUK Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
DATUK Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Caruman PERKESO pemandu e-hailing, teksi, bas masih rendah

SEREMBAN: Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kalangan pemandu e-hailing, teksi dan bas masih rendah dan jauh daripada sasaran yang ditetapkan.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata ia kerana hanya sekitar 20 peratus daripada golongan itu yang mendaftar untuk caruman PERKESO setakat ini.

“Hanya 60,000 orang yang sudah mendaftar daripada 300,000 pemandu e-hailing, teksi dan bas di seluruh Malaysia. Data ini menunjukkan caruman PERKESO golongan ini masih jauh dari sasaran.

“Jumlah (300,000) ini mungkin termasuk mereka yang bekerja sambilan, namun golongan ini juga perlu mendaftar kerana terdedah kepada risiko sendiri dan tidak akan ditanggung dengan yang dicarumkan oleh majikan (sekiranya mempunyai pekerjaan lain).

“Seperti contoh, sebelum ini terdapat beberapa kes membabitkan kematian pemandu e-hailing dan malangnya mereka tidak mencarum. Jadi, kita tidak dapat berbuat apa-apa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program PERKESO Bersama Pimpinan Masyarakat Peringkat PERKESO Negeri Sembilan di sini, hari ini, yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dr Mohammed Azman berkata pihaknya bercadang mengadakan operasi besar-besaran untuk mengesan pemandu e-hailing, teksi dan bas yang masih tidak mendaftar sebagai pencarum PERKESO.

“Tiada tarikh tamat untuk pendaftaran sebagai pencarum PERKESO kerana kita sudah kuatkuasakan sejak dua tahun lalu. Tempoh itu sudah cukup lama dan mereka sepatutnya sudah mendaftar,” katanya.

Mengulas mengenai program hari ini, beliau berkata ia bertujuan untuk menguar-uarkan lagi peranan PERKESO kepada masyarakat dalam usaha meningkatkan kesedaran kepentingan mengenai perlindungan keselamatan sosial.

“Sepanjang tahun ini sehingga bulan lalu, lebih RM22.3 juta dibayar sebagai faedah di bawah Skim Bencana Kerja dan Skim Keilatan manakala 669 permohonan diluluskan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) membabitkan bantuan kewangan berjumlah RM1.6 juta.

“Kita juga memperhebatkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi memastikan pemandu teksi, kereta sewa, e-hailing dan bas untuk terus mendaftar dan mencarum dengan PERKESO,” katanya.

Berita Harian X