Isnin, 2 September 2019 | 10:59am
TUN Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, pagi tadi (waktu tempatan) bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari di Kemboja.
TUN Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, pagi tadi (waktu tempatan) bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari di Kemboja.

Dr Mahathir mulakan lawatan rasmi di Kemboja

PHNOM PENH: Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, di sini, jam 9.35 pagi tadi (waktu tempatan) bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari di Kemboja.

Ketibaan Perdana Menteri bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, disambut Menteri Tugas-Tugas Khas Kemboja, Datuk Dr Othsman Hassan selaku menteri pengiring.

Lawatan Dr Mahathir atas jemputan rakan sejawatnya, Hun Sen yang mengagumi kepemimpinan beliau memacu pemodenan Malaysia, terutama dalam konteks pembangunan dan sosioekonomi.

Ia juga untuk menyelesaikan beberapa isu berkaitan hubungan Malaysia-Kemboja, termasuk bagi memuktamadkan Perjanjian Pengecualian Cukai Berganda (DTA), sekali gus meningkatkan prestasi dagangan antara kedua-dua negara.

Ini turut menjadikan Kemboja negara ASEAN terakhir menandatangani perjanjian itu dengan Malaysia.

Yang turut mengiringi lawatan Dr Mahathir ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; dan Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Jadual padat menanti Perdana Menteri sepanjang tiga hari berada di bandar raya ini, termasuk menghadiri sesi dialog bersama komuniti akademik di Royal University of Phnom Penh (RUPP) yang akan turut dihadiri anggota Kabinet Kemboja.

Selesai sesi dialog berkenaan, Dr Mahathir dijadual mengadakan mesyuarat khas bersama pemimpin komuniti Islam Kemboja di hotel penginapannya.

Perdana Menteri cukup dikagumi masyarakat Islam di negara ini atas peranan aktif beliau dan Kerajaan Malaysia sendiri dalam mendukung agenda pembangunan sosioekonomi komuniti itu.

Esok, Dr Mahathir dijadualkan melawat Tugu Peringatan Kemerdekaan Kemboja, seterusnya diberikan sambutan negara di Peace Palace, di sini, disusuli mesyuarat dua hala bersama Hun Sen di pejabat beliau.

Kedua-dua pemimpin itu kemudian akan menyaksikan Majlis Menandatangani DTA dan Memorandum Persefahaman (Mou) Kerjasama Pelancongan Malaysia-Kemboja sebelum mengeluarkan kenyataan bersama mengenai hasil pertemuan mereka.

Dengan populasi mencecah 16.5 juta penduduk, Kemboja adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia pada peringkat ASEAN dengan nilai perdagangan kedua-dua negara merekodkan RM1.78 bilion sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

Selain petroleum, eksport terbesar Malaysia ke negara ini ialah produk kimia dan elektronik, manakala sebahagian besar pelaburan tumpu kepada sektor hartanah serta perhotelan.

Dr Mahathir turut dijadual mengadakan pertemuan bersama pemain industri dan komuniti perniagaan Malaysia di Phnom Penh sebelum mengakhiri lawatan beliau.

Berita Harian X