Sabtu, 31 Ogos 2019 | 3:17pm

65,000 penumpang rel, bas, feri nyanyikan Negaraku

KUALA LUMPUR: Tepat jam 12 tengah hari, kira-kira 65,000 pengguna dan 2,000 kakitangan perkhidmatan rel, bas dan feri kendalian Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) di seluruh negara, berdiri menyanyikan lagu Negaraku.

Itu acara sambutan kemerdekaan yang dilaksanakan Prasarana bersama-sama pelanggan dan kakitangannya bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-62, hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berkata semua perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan monorel berhenti di 115 stesen tepat jam 12 tengah hari.

Katanya, lagu Negaraku kemudian dimainkan di semua stesen itu untuk penumpang dan kakitangan Prasarana menyanyikan lagu kebangsaan, bagi meraikan sambutan kemerdekaan dan menzahirkan rasa cinta kepada negara.

Beliau berkata, sambutan sama turut diadakan di stesen bas utama Rapid di Pasar Seni, Kuala Lumpur; Kuantan, Pahang; Pulau Pinang dan perkhidmatan feri di Pulau Mutiara itu.

“Saya terpegun melihat sambutan menggalakkan daripada penumpang apabila mereka semua berdiri dan menyanyikan lagu Negaraku bersama kita, menunjukkan sifat mulia dan sayangkan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Merdeka adalah sambutan bermakna untuk rakyat Malaysia kerana ia peristiwa yang menyatukan kita yang berbilang kaum dan bangsa, dan saya harap perpaduan ini tidak sekadar terhenti pada hari ini, sebaliknya kekal pada masa akan datang.

“Jika sambutan seperti ini dapat menghubungkan semangat kemerdekaan antara Prasarana dan penumpang dan mereka melihat ini sebagai sesuatu yang baik, kami akan teruskan di masa akan datang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Hazlan hadir di stesen LRT Pasar Seni bagi menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama puluhan penumpang dan kakitangan Prasarana.

Berita Harian X