Sabtu, 31 Ogos 2019 | 3:08pm
Perutusan Hari Kebangsaan Sultan Selangor dimuat naik melalui akaun Royal Selangor Office di laman sosial Facebook.
Perutusan Hari Kebangsaan Sultan Selangor dimuat naik melalui akaun Royal Selangor Office di laman sosial Facebook.

Rakyat perlu ada tanggungjawab elak pertelagahan, perpecahan - Sultan Selangor

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu setiap rakyat mempunyai rasa tanggungjawab untuk mengelakkan tercetusnya sebarang bentuk pertelagahan dan perpecahan.

Baginda bertitah, pertelagahan dan perpecahan yang berpunca daripada anasir negatif oleh provokasi pihak tertentu, yang mahu mencemar perpaduan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengingatkan supaya rakyat tidak mudah percaya dengan fitnah dan berita tidak sahih khususnya di media sosial yang cuba mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman hubungan sesama kaum.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, Malaysia hari ini menyambut Hari Kebangsaan untuk kali ke-62 dalam suasana yang harmoni dan aman sentosa.

“Beta berharap sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos setiap tahun sebegini akan terus menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat jelata, serta mampu menyemai rasa cinta dan sayang kepada negara dalam jiwa semua kaum dan bangsa di Malaysia.

“Semangat ini juga haruslah dizahirkan dalam bentuk perpaduan yang jitu dan keharmonian yang utuh, demi mengekalkan kemakmuran ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya,” titah baginda.

Perutusan Hari Kebangsaan baginda itu dimuat naik melalui akaun Royal Selangor Office di laman sosial Facebook.

Sultan Selangor berkata, setiap rakyat perlu mengamalkan sikap toleransi dan berusaha untuk saling memahami serta meraikan perbezaan adat, budaya dan agama supaya dapat terus hidup dalam suasana merdeka.

Baginda juga mendoakan supaya Malaysia sentiasa dirahmati dengan keamanan dan kemakmuran yang berpanjangan.

“Di kesempatan ini, beta dan Tengku Permaisuri Norashikin ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia,” titah baginda.

Berita Harian X