Sabtu, 31 Ogos 2019 | 1:53pm
Antara pelajar sekolah yang terbabit dalam persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-62 di Dataran Putrajaya hari ini. Pelajar-pelajar sekolah yang terbabit daripada SMK Seri Gombak, Batu Caves; SMK Dato’ Harun, Tanjung Karang; SMK Jalan Bukit, Kajang dan SMK Shahbandaraya, Klang. - Foto BERNAMA

Latihan tujuh jam sehari bawa pulangan

PUTRAJAYA: Walaupun perlu menjalani latihan selama tujuh jam sehari selama sebulan, ia tidak sedikit pun melelahkan, sebaliknya menyuntik semangat dua pelajar memberikan persembahan terbaik.

Nur Ainul Shafiqah Othhman, 14, dan Farah Ilyana Mahadir, 14, ialah antara ratusan pelajar dari Kuala Lumpur dan Selangor yang membuat persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ pada sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini.

Nur Ainul Shafiqah yang juga pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jalil, berasa bertuah kerana terpilih membuat persembahan pantomin yang menjadi pengalaman pertama baginya.

“Saya sangat teruja, lebih-lebih lagi dapat membuat persembahan di hadapan Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.


Nur Ainul Shafiqah Othhman (kiri) dan Farah Ilyana Mahadir. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

“Tempoh sebulan berlatih sangat menyeronokkan kerana saya mendapat ilmu dan kawan baharu,” katanya kepada BH selepas sambutan berkenaan.

Sementara itu, Farah Ilyana yang juga pelajar Tingkatan Dua dari sekolah sama, berkata mereka berlatih dari jam 7 pagi hingga 2 petang dari Isnin hingga Jumaat sejak sebulan lalu.

“Jika ditawarkan lagi pada tahun depan, saya tidak akan melepaskan peluang menyertainya lagi.

“Guru memberi tunjuk ajar yang baik kepada kami dan pergerakan bagi persembahan juga tidak sukar untuk dipelajari,” katanya.

Pengalaman menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan hampir setiap tahun juga tidak pernah menjemukan bagi atlet Orang Kurang Upaya (OKU), Muhammad Syafiq Naim Abdul Manaf, 22.

“Acara paling saya gemari adalah pertunjukan lintas hormat udara dan perarakan oleh pasukan keselamatan.

“Saya juga datang untuk melihat dan memberi sokongan kepada abang saya yang bertugas serta rakan saya yang menyertai perarakan,” katanya yang ditemani ibunya, Rozita Zulkali, 53.

Berita Harian X