Sabtu, 31 Ogos 2019 | 1:47pm
Pelancong Derek Stokes (kiri, 45 dari Ireland dan Remah Sakalla, pelajar dari Palestin. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Warna-warni Hari Kebangsaan pikat pelancong, warga asing

PUTRAJAYA: Kemeriahan dan keunikan Malaysia yang ditonjolkan dalam sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya di sini, hari ini menarik perhatian pelancong dan warga asing terhadap kepelbagaian di negara ini.

Pelancong dari Ireland, Derek Stokes, 45, menyifatkan pengalaman pertamanya menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan di negara ini amat mengujakan dan penuh warna-warni.

“Saya bertuah dapat menyaksikan sambutan ini. Semua rakyat walau di mana saja kelihatan gembira dan sama-sama meraikan ulang tahun kemerdekaan negara.

“Malaysia adalah negara yang sangat cantik dan rakyatnya peramah, malah ia berbeza berbanding negara lain di dunia,” katanya kepada BH ketika ditemui selepas sambutan berkenaan.

Stokes berkata, ini adalah kali ketiga beliau ke Malaysia dan tidak akan jemu mengunjungi negara ini.

“Saya sudah sebulan di negara ini dan sebelum ini saya bercuti di Pulau Pangkor, Perak. Saya suka berada di kawasan desa yang tenang dan cantik,” katanya.

Seorang rakyat Jepun yang hanya mahu dikenali sebagai Yuki, 35, berkata ia adalah pengalaman pertamanya menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan, yang tidak dapat dilihat di negaranya.

“Ini kali pertama saya melihat aset ketenteraan yang begitu banyak dalam hidup saya. Saya dapat lihat rakyat negara ini begitu bangga dan suasananya sangat positif,” katanya.

Pelajar dari Palestin, Remah Sakalla, 24, berkata sambutan Hari Kebangsaan di Malaysia sememangnya meriah dan menampilkan kelainan setiap tahun.

“Saya sudah tiga kali menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan dan tahun ini, saya menyaksikannya dari awal, berbeza sebelum ini.

“Malaysia seperti rumah kedua bagi saya dan ini adalah hari untuk kita mengenang pengorbanan mereka yang berjuang untuk kemerdekaan negara,” kata pelajar Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (LUCT) itu.

Berita Harian X