Sabtu, 31 Ogos 2019 | 9:01am
YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melaungkan Merdeka pada sambutan Hari Kebangsaan ke 62 di Dataran Putrajaya. - Foto Luqman Hakim Zubir

Hari Kebangsaan dirai meriah, penuh semangat patriotik

PUTRAJAYA: Rakyat pelbagai kaum dan usia membanjiri Dataran Putrajaya di sini, hari ini bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang diraikan dengan penuh semangat patriotik.

Sebahagian pengunjung termasuk yang datang bersama keluarga seawal jam 6 pagi tadi, menggayakan busana bercorak Jalur Gemilang, serta mengibarkan bendera Malaysia dengan bersemangat walaupun acara utama belum bermula.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini yang bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ kali kedua berturut-turut diadakan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, iaitu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, turut berangkat menghadiri sambutan.

PUTRAJAYA 31 OGOS 2019. Orang ramai hadir menyaksikan perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. NSTP/MUHD ZAABA ZAKERIA

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang memandu sendiri sebuah Proton Saga berwarna merah hati; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim; barisan menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Sejurus keberangkatan baginda, Al-Sultan Abdullah memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dibarisi 107 pegawai dan anggota Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Shaiful Amir Omar.

Sambutan diteruskan dengan nyanyian Negaraku, disusuli acara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi 14 das tembakan meriam yang melambangkan 14 negeri oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja diketuai Mejar Asri Che Wil.

PUTRAJAYA 31 OGOS 2019. Orang ramai hadir sejak awal pagi bagi menyaksikan perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Ia diikuti bacaan ikrar Rukun Negara dan laungan 'Merdeka' sebanyak tujuh kali oleh Ketua Penolong Kanan Persuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Zuhairie Abu Bakar serta 62 pembaca ikrar.

Acara dimeriahkan lagi dengan persembahan khas ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ membabitkan 1,627 peserta, terdiri kumpulan kesenian mewakili pelbagai agensi dan persatuan.

Acara perbarisan dan perarakan di Persiaran Perdana sejauh 3.2 kilometer itu bermula pada jam 8.40 pagi, didahului perarakan masuk Kontinjen Kenegaraan iaitu pembawa Jalur Gemilang, bendera negeri dan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang, melintasi pentas utama.

Perarakan membabitkan lebih 17,353 peserta itu dimulakan dengan kontinjen perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta.

Perbarisan dan perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 bertemakan "Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih" berlangsung dengan meriah di Dataran Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

  • Lebih gambar Sambutan Hari Kemerdekaan sila layari Galeri di https://bit.ly/2ZuahMA
  • Berita Harian X