Sabtu, 31 Ogos 2019 | 8:28am
Perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Dataran Putrajaya meriah

PUTRAJAYA: Ribuan pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya di sini sejak jam 5 pagi tadi bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Pelbagai lapisan masyarakat membawa sepanduk dan Jalur Gemilang bagi merayakan kemerdekaan negara ke-62, dengan ada antara mereka mengenakan pakaian melambangkan Malaysia dan bertemakan patriotik.

Dengan tema ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, kira-kira 300,000 pengunjung dijangka menghadiri sambutan pada tahun ini, yang diadakan buat kali kedua di Putrajaya di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar berkenan menghadiri sambutan dan tiba pada jam 8 pagi.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika hadir Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Orang ramai hadir menyaksikan perbarisan sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2019 di Dataran Putrajaya. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Yang turut hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan suami, Datuk Seri Anwar Ibrahim; barisan Menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin parti politik.

Lebih 15,000 peserta dan lebih 300 aset terbabit dalam acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Putrajaya sebelum ini pernah menjadi lokasi bagi penganjuran Hari Kebangsaan pada 2003, 2005 dan tahun lalu.

Berita Harian X