Sabtu, 31 Ogos 2019 | 1:03am
PANCURAN bunga api ketika ambang sambutan Hari Kebangsaan berlatar belakang Menara Berkembar Petronas yang mempunyai elemen warna Jalur Gemilang di Suria KLCC. NSTP/Asyraf Hamzah

Ratusan banjiri KLCC sambut ambang merdeka

KUALA LUMPUR: Ribuan warga kota membanjiri pekarangan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), di sini, malam tadi bagi meraikan sambutan ambang merdeka.

Sambutan ambang merdeka di KLCC yang bermula sekitar jam 9 malam, diraikan dengan suasana kemeriahan oleh rakyat berbilang kaum dan agama, serta pelancong antarabangsa.

Hadirin yang hadir seawal jam 7 malam disajikan dengan persembahan beberapa selebriti terkenal seperti Datuk David Arumugam, Khai Bahar dan Bunkface.

Turut dipersembahkan adalah rakaman lagu Warisan dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang diiringi pancuran air Tasik Simfoni di Taman KLCC yang ‘menari’ mengikut rentak lagu itu.

Kemuncak sambutan ambang merdeka adalah tembakan ratusan das bunga api pelbagai warna di langit KLCC selama hampir 10 minit.

Sementara itu, perunding perniagaan, Syahrir Khairul Udim, 37, mengambil kesempatan sambutan ambang merdeka untuk meluangkan masa bersama anak dan isteri, selain menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ke-62.

“Kami sekeluarga memang kerap menyambut ambang merdeka, cuma kali ini sedikit istimewa kerana tahun lalu kami sekeluarga hidup berjauhan.

“Sambutan merdeka tahun ini juga dirasakan lebih gemilang memandangkan kerajaan sudah bertukar dan rakyat Malaysia berpeluang merasakan perubahan,” katanya.

Bagi penjawat awam, M Elanngovan, 38, ini adalah sambutan ambang merdeka yang pertama sejak 2014 bersama keluarganya memandangkan berada di luar negara sejak tiga tahun lalu.

Katanya, selain menyaksikan persembahan dan pertunjukan bunga api, beliau juga mahu menjadikan sambutan itu sebagai peluang untuk memastikan tiga anaknya memahami erti kemerdekaan.

“Memandangkan sejak kebelakangan ini berlaku sedikit ketegangan antara kaum, saya harap sambutan merdeka ini dapat meredakannya dan kita kekalkan perpaduan.

“Sambutan ini juga membuktikan perpaduan kita masih utuh apabila rakyat berbilang kaum dapat meraikan bersama-sama tanpa pergaduhan dan rasa bimbang,” katanya.

Pesara swasta, Mohd Khairuddin Mohd Noor, 58, pula pertama kali menyaksikan pertunjukan bunga api pada malam kemerdekaan bersama keluarganya di KLCC.

“Saya harap sempena sambutan merdeka ini, rakyat kekal bersatu padu dan menjauhkan diri daripada persengketaan antara kaum supaya kita dapat hidup harmoni.

“Kita tidak hidup hanya satu bangsa di Malaysia, jadi sebelum kita melakukan sesuatu atau mengeluarkan kenyataan, fikirlah dahulu supaya tidak menyentuh hati dan sensitiviti kaum lain,” katanya.

Berita Harian X