Jumaat, 30 Ogos 2019 | 10:28pm

Wawasan Kemakmuran Bersama, dasar kerajaan jadikan Malaysia maju, bermaruah dan merdeka - PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Wawasan Kemakmuran Bersama dan dasar dibentuk kerajaan adalah untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju, bermaruah serta merdeka.

Dalam perutusan Hari Kebangsaan 2019 sempena ulang tahun kemerdekaan ke-62, Perdana Menteri berkata, kerajaan sedang menumpukan usaha kepada pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama dengan matlamat menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia bagi memajukan negara.

“Ia sedang digerakkan dengan objektif menjadikan Malaysia lebih cemerlang dan menjadi antara paksi ekonomi penting di Asia,” katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, usaha juga dipergiatkan untuk meningkat kuasa beli rakyat dan menghapus jurang pendapatan serta kekayaan antara kelas, kaum dan wilayah.

Katanya, wawasan itu adalah usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang berterusan membangun secara mampan seiring pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang 2030.

Dr Mahathir turut menekankan bahawa pengenalan wawasan serta dasar tidak akan tercapai kecuali sistem pentadbiran bersama mendukung dan menyokong usaha-usaha itu.

Beliau berkata, salah satu bencana paling besar kepada negara ialah gejala rasuah dan ia turut membabitkan perkhidmatan awam.

“Bagi memastikan dasar kerajaan tidak disabotaj oleh mereka yang menyalahgunakan kuasa dan menerima rasuah, maka kerajaan sudah meletakkan usaha membanteras rasuah sebagai salah satu objektif utama,” katanya.

Sejajar dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, Dr Mahathir berkata, harapan adalah untuk membersihkan negara daripada amalan rasuah yang mampu menggagalkan usaha memberi kemakmuran bersama kepada semua rakyat. – BERNAMA

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X