Jumaat, 30 Ogos 2019 | 9:47pm

Semangat setiakawan, kenegaraan tidak harus terhenti - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Tatkala meraikan Hari Kebangsaan ke-62, Tun Dr Mahathir Mohamad amat berharap rakyat tidak kira agama, bangsa dan budaya mendalami diri masing-masing serta mencari semangat setiakawan dan kenegaraan yang membantu Malaysia mencapai kemerdekaan dan membangunkannya sehingga menjadi negara berjaya.

Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan 2019 yang disambut esok, Perdana Menteri berkata Malaysia dibina atas nilai tolak-ansur, ketinggian budi, hormat menghormati, kesediaan memberi dan berkongsi, tidak mementingkan diri dan berkemahuan untuk berkorban demi kepentingan negara.

Tanpa nilai-nilai itu, Malaysia tidak akan membesar menjadi negara maju yang berkeupayaan memberi rakyatnya keselesaan dan kemajuan.

“Seharusnya, semakin kita maju dan berjaya, semakin kita sedar betapa perlunya kita kepada nilai-nilai baik itu. Jika nilai-nilai itu yang dipegang oleh ibu bapa dan datuk nenek kita berjaya membentuk negara ini, sudah pasti ia lebih penting apabila kita mengurus kemajuan yang tercapai.

“Malangnya, jika kita lihat di sekeliling kita, di dalam kita hanyut dengan kemajuan komunikasi dan digitalisasi, nilai-nilai yang baik itu diketepi dan diganti dengan sifat buruk yang jelik dan menjijikkan,” katanya dalam perutusan yang disiarkan di stesen televisyen dan radio tempatan malam ini.

Menegaskan bahawa nilai baik berkenaan tidak seharusnya terhenti apabila negara mencapai kemerdekaan atau kemajuan seperti dinikmati pada hari ini, Dr Mahathir berkata sifat buruk itu lebih terserlah ketika berdepan dengan isu sensitif mengenai bangsa dan agama.

Beliau berkata, ketika mempertahankan agama dan kaum masing-masing, penghinaan dilakukan terhadap kaum dan agama lain sehingga mengguna kata-kata nista dan kesat, yang pastinya menimbulkan kemarahan dan keresahan.

“Amat menghairankan kerana jika kita mahu menegak agama dan bangsa kita, sudah tentu kita perlu memperlihat sifat dan penggunaan bahasa yang baik dan berbudaya. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya.

Dr Mahathir turut membangkitkan sama ada rakyat sudah tidak lagi peduli terhadap masa hadapan negara dalam mempertahankan kepentingan sempit bangsa dan agama masing-masing.

Perdana Menteri berkata, rakyat perlu menyedari betapa besarnya nikmat yang ada dalam negara ini, dan mencari jalan serta berusaha sedaya mungkin untuk mempertahankan kemakmuran negara.

Mengimbau sejarah Malaysia, Dr Mahathir berkata seperti negara lain, ia didirikan dengan keringat dan air mata, pertumpahan darah, kekejaman, penindasan, penipuan, pengkhianatan dan penghinaan terhadap bangsa serta negara.

“Mungkin kita perlu lihat betapa negara-negara yang pada satu ketika, tidak begitu lama dahulu menikmati kekayaan dan kemakmuran yang menjadi impian negara lain. Hari ini, negara-negara itu musnah dan rakyat mereka menjadi pelarian di negara lain.

“Kerana itu kita perlu sedar apabila kita menuntut hak atau kepentingan kelompok kita dan kelompok yang satu lagi tidak mahu bertolak-ansur, bertimbang rasa atau memberi kemaafan ia boleh membawa kepada konflik,” katanya.

Bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’, sambutan Hari Kebangsaan 2019 akan berlangsung di Dataran Putrajaya esok dengan acara kemuncak membabitkan perbarisan dan perarakan serta persembahan formasi manusia. – BERNAMA

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Perutusan Hari Kebangsaan 2019 di pejabatnya. - Foto BERNAMA
Berita Harian X