KUALA LUMPUR: Ribuan rakyat pelbagai lapisan usia dan kaum membanjiri lokasi tumpuan di seluruh negara untuk meraikan sambutan ambang Merdeka sambil menonton pertunjukan bunga api malam tadi.
Lokasi tumpuan sambutan Ambang Merdeka@Kuala Lumpur berlangsung di Dataran Merdeka dengan pelbagai acara menarik termasuk deklamasi puisi kemerdekaan, tarian kanak-kanak, persembahan silat, opera topeng Cina, kumpulan Sitar India.
Program itu dimeriahkan persembahan artis terkenal termasuk Aishah, Yasin, Monoloque, Roy, Sani Sudin Kopratasa dan Datuk Ramli Sarip, selain Kombo Budaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Acara sambutan di Kuala Lumpur, turut berlangsung di KLCC.
Sambutan ambang merdeka Selangor pula diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula jam 8.30 malam dengan pelbagai acara termasuk perbarisan, kenderaan berhias, pantomin dan persembahan bunga api.
Selain itu persembahan artis terkenal Sufian Suhaimi dan Siti Sarah, menggamatkan sambutan di Dataran Bandaraya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Orang ramai turut mendengar amanat Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sambil mengira Detik 12 tengah malam yang disusuli pertunjukan bunga api.
Tiga pendakwah terkenal, Ustaz Haslin ‘Bollywood’, Ustaz Syed Kadir Al-Jofry, dan Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang membuat penampilan dalam slot bicara santai sambutan malam Ambang Merdeka Sayangi Malaysiaku 2019, di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu yang turut diserikan pertunjukan bunga api.

