Khamis, 29 Ogos 2019 | 6:55pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik. - Foto Aizuddin Saad

Sekolah arus perdana miliki kelengkapan untuk pelajar OKU

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan optimis untuk menjadikan semua sekolah arus perdana di negara ini mesra pelajar kelainan upaya (OKU) dengan penyediaan kelengkapan pembelajaran bersesuaian untuk mereka.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, berkata hasrat kementerian adalah untuk memberikan ruang pendidikan berkualiti kepada golongan terbabit.

Katanya, kerajaan sentiasa menyokong usaha pihak sekolah yang mempromosikan pendidikan inklusif ke arah itu dengan matlamat memberi pendidikan kepada semua kanak-kanak terutama yang mempunyai keperluan pendidikan khas.

“Kami sudah melaksanakan ‘zero reject policy’ untuk memastikan pendidikan mandatori untuk semua kanak-kanak istimewa ini.

“Walaupun kita sedang melaksanakan inisiatif untuk kanak-kanak istimewa ini bagi memenuhi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kita masih perlu melakukan inovasi pedagogi (kajian mengenai kaedah dan prinsip pembelajaran) dan mencari teknologi pembelajaran baharu yang boleh membantu memenuhi keperluan kanak-kanak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pameran Pendidikan Khas Antarabangsa 2019 (ISEE 2019) di Pusat Konvensyen dan Pameran MATRADE (MECC) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Mohd Gazali Abas.

Beliau berkata, program pendidikan mesti diperbaharui secara berterusan seiring dengan keperluan perubahan masyarakat serta peribadi pelajar itu sendiri.

“Matlamat kami adalah untuk memberikan setiap anak-anak istimewa ini kepada pendidikan berkualiti tinggi yang disesuaikan dengan keperluan khusus mereka.

“Selain mempersiapkan guru dengan pengetahuan asas pendidikan khas dan menyasarkan tiga daripada empat pelajar dengan keperluan khas menyertai program inklusif menjelang 2025,” katanya.

Maszlee berkata, pendidikan mempunyai impak yang ketara kepada prospek pekerjaan dan apabila negara bergerak untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing, orang kurang upaya ini boleh diberi peluang untuk mengisi slot pekerjaan di dalam sektor swasta.

Berita Harian X