Khamis, 29 Ogos 2019 | 12:33pm

JPJ KL tunggu laporan MIROS kesesuaian GoJek

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menunggu laporan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) berhubung kesesuaian pelaksanaan teksi motosikal atau GoJek di negara ini.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Datuk Ismail Mohd Zawawi, berkata pihaknya sebagai agensi penguat kuasa undang-undang tidak mempunyai sebarang masalah berhubung cadangan perkhidmatan e-hailing terbaharu itu kerana ia tertakluk kepada keputusan kerajaan.

“Bagaimanapun, sebelum perkhidmatan itu dilaksanakan, kita minta kerajaan meneliti beberapa aspek berkaitan kesesuaian GoJek di negara ini termasuk di ibu negara yang pasti menjadi tumpuan perkhidmatan itu.

“Ini kerana berdasarkan statistik, penunggang motosikal paling ramai tidak mempunyai lesen memandu serta cukai jalan, selain antara penyumbang tertinggi kemalangan jalan raya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Kebangsaan ke-62 di, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan dan Kementerian Pengangkutan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk keselamatan dan undang-undang sebelum membenarkan perkhidmatan itu dijalankan seperti yang berlaku pada perkhidmatan sama “Dego-Ride’ yang diharamkan sebelum ini.

MIROS dalam satu kenyataan, semalam memaklumkan akan menjalankan Kajian Persepsi Pengguna Jalan Raya Terhadap Kebolehlaksanaan Perkhidmatan Teksi Motosikal bermula hari ini hingga 7 September depan.

Pada 21 Ogos lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata Kabinet meluluskan cadangan untuk mewujudkan perkhidmatan GoJek.

Katanya, ia bagi membantu golongan anak muda yang memiliki motosikal untuk membuat perniagaan kecil menggunakan mod kenderaan itu.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof pula memaklumkan Jemaah Menteri memutuskan supaya kajian dari sudut undang-undang dibuat terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Pengarah JPJ WPKL, Datuk Ismail Mohd Zawawi melekatkan Jalur Gemilang pada kenderaan JPJ selepas Perhimpunan Setia dan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), di Dewan Merpati JPJ WPKL Wangsa Maju. - Foto Aswadi Alias
Berita Harian X