Khamis, 29 Ogos 2019 | 12:25pm

Raptai penuh Hari Kebangsaan 2019 berjalan lancar

PUTRAJAYA: Raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya di sini, hari ini berjalan lancar.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Suriani Ahmad, berkata beliau berpuas hati dengan semangat ditunjukkan peserta pada sesi raptai berkenaan.

Beliau berkata, seramai 17,353 peserta menyertai raptai itu yang merangkumi peserta persembahan grafik manusia, persembahan padang dan perarakan.

“Raptai hari ini berjalan lancar dan baik, cuaca juga menyebelahi kita dan ia secara tidak langsung membolehkan kita dapat melihat aset udara yang dipertontonkan dengan jelas.

PELAJAR sekolah dan wakil Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara ketika melakukan raptai penuh bagi sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut pada 31 Ogos ini di Dataran Putrajaya. - Foto BERNAMA

“Diharapkan ketika hari sebenar iaitu pada 31 Ogos ini kita dapat lakukan semua perkara seperti dirancang.

“Secara keseluruhannya saya berpuas hati kerana kita sudah berusaha yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi raptai berkenaan di sini hari ini.

Yang turut hadir pada sesi raptai itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Timbalannya, Eddin Syazlee Shith.

Walaupun hanya sesi raptai namun Dataran Putrajaya turut dipenuhi lebih 2,000 orang awam sejak awal pagi tadi bagi menyaksikan perarakan.

Sementara itu, Suriani berkata, pada tahun ini persembahan grafik manusia adalah elemen baharu yang dibawa ke Putrajaya.

“Grafik manusia itu dijayakan oleh 2,500 pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Empat daripada sekolah menengah seluruh Selangor.

“Mereka ini berlatih sejak Julai lalu, tugas mereka sangat berat tapi apa yang diterjemahkan dan pembabitan mereka itu adalah rasa sayang dan patriotik mereka pada negara,” katanya.

RAPTAI persembahan perarakan maskot ‘Ejen Ali’, ‘Didi’ dan ‘Yaya’ yang turut mengambil bahagian dalam perbarisan pada sambutan Hari Kebangsaan ke-62 di Dataran Putrajaya. - Foto BERNAMA
Berita Harian X