Rabu, 28 Ogos 2019 | 1:16pm

Jaga sensitiviti kaum, tugas paling sukar PM

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara paling sukar ketika memimpin negara adalah menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum.

Perdana Menteri berkata, setiap percakapan dan perbuatan perlu dilakukan secara berhati-hati tanpa menyebabkan perasaan perkauman timbul.

“Paling susah ialah kerana Malaysia negara berbilang kaum, jadi kita perlu berhati-hati apabila berkata sesuatu, supaya kita tidak terkena sensitiviti kaum tertentu.

“Apa yang kita buat, apa yang kita kata sepatutnya tidak menyebabkan perasaan rasis ini timbul,” katanya ketika ditanya dalam video pendek sempena hari kemerdekaan negara.

Video berdurasi empat minit yang bertajuk ‘Apabila Dr Mahathir ditanya mengenai Merdeka’ itu dikongsi di Youtube Chedet Official pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Jalan cerita video berkenaan berkisarkan sekumpulan tujuh remaja pelbagai bangsa terserempak dengan Dr Mahathir di Tasik Putrajaya dan bertanya beberapa soalan berkaitan kemerdekaan.

Ditanya mengenai kepentingan meraikan kemerdekaan, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia boleh menentukan nasib sendiri.

“Kita yang mentadbir, kita yang berusaha untuk memajukan negara kita.

“Kita boleh pilih kerajaan kita, itu amat berbeza dengan masa penjajah yang mana kita tiada suara sama sekali dalam pemerintahan negara, semuanya ditentukan penjajah dan mereka berusaha untuk kepentingan mereka, bukan untuk kepentingan kita,” katanya.

Dalam video itu, Dr Mahathir turut berkongsi sambutan pertama kemerdekaan beliau.

“Very excitinglah (sangat seronok) kerana dulu kita dijajah, sekarang kita berasa bebas. Pada merdeka yang pertama, kita rayakan di seluruh negara,” katanya.

Ditanya mengenai kemerdekaan sebenar hari ini, Dr Mahathir berkata, masyarakat kini sentiasa terpengaruh dengan maklumat yang diperoleh.

“Tetapi sifat sebagai orang Malaysia masih ada meskipun pengaruh orang asing ada,” katanya.

Dr Mahathir turut menitipkan nasihat kepada remaja supaya lebih sedar dan tahu keadaan sebenar dalam negara.

“Ya, kita tentukan nasib remaja menjadi lebih baik, remaja perlu sedar terutama bahawa negara kita ini negara berbilang kaum dan kita perlu rapatkan hubungan antara kaum, tidak sengaja menimbulkan kemarahan antara mana-mana kaum,” katanya.

Video pendek Tun Dr Mahathir Mohamad sempena hari kemerdekaan negara.
Berita Harian X