Rabu, 28 Ogos 2019 | 11:15am
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Hanoi, hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Nguyen Phu Trong. - Foto BERNAMA

Tun M kunjungi Presiden Vietnam

HANOI: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke sini, hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam, Nguyen Phu Trong.

Kunjungan hormat ke atas Phu Trong yang juga Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam berlangsung selama kira-kira 25 minit di ibu pejabat parti itu, di sini.

Phu Trong dilantik sebagai Presiden Vietnam pada Oktober tahun lalu.

Dalam lawatannya yang memasuki hari terakhir hari ini, Perdana Menteri kemudian melawat syarikat FPT Software di Hoa Lac Hi-Tech Park.

Dr Mahathir juga dijadual menyampaikan ucapan bertajuk ‘Persediaan Malaysia Berhadapan Revolusi Industri 4.0’ di hadapan pelajar universiti.

Beliau juga akan melihat pameran kereta buatan Vietnam iaitu VinFast model Lux SA 2.0, Lux SA (A) 2.0 dan Fadil 1.5, selain kemungkinan memandu uji kereta terbabit.

Selepas itu, Perdana Menteri akan singgah di Noi Bai Industrial Zone yang ditadbir urus oleh Noi Bai Development Corporation Limited (NBD), iaitu syarikat usahasama Malaysia-Vietnam (Vista Spectrum Sdn Bhd dan Urban Infrastructure Development Investment Corporation UDIC Vietnam).

Ketika lawatan ke Hanoi pada 1996, Dr Mahathir merasmikan upacara pecah tanah Noi Bai Industrial Zone.

Perdana Menteri dijadual berlepas pulang ke Malaysia pada jam 3 petang ini.

Berita Harian X