Rabu, 28 Ogos 2019 | 9:07am

Dialog jalan terbaik selesai kemelut AATC, pelajar

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan berharap isu Pusat Latihan Aeronautik Bersekutu (AATC) dan penuntutnya diselesaikan secara harmoni menerusi rundingan dan dialog.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan hari ini, berkata tindakan sewajarnya perlu diambil bagi memastikan kepentingan pelajar dan AATC sentiasa terpelihara.

“Kementerian ini mengambil perhatian terhadap isu penahanan tujuh pelajar AATC oleh pihak polis kelmarin, selepas mereka dikatakan cuba menghalang tindakan polis untuk menyuraikan demonstrasi yang disertai 50 penuntut pusat latihan berkenaan.

“Kementerian difahamkan demonstrasi diadakan bagi membantah tindakan AATC yang membuang penuntutnya selepas didapati gagal menjelaskan yuran pengajian.

“Walaupun AATC tidak tertakluk di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan kerana ia pusat latihan kendalian swasta yang diperakui Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), namun atas prinsip dan semangat demokrasi, isu ini diharap dapat diselesaikan dengan cara paling harmoni,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan juga berharap pihak kolej dan pelajar mengadakan rundingan dan sesi dialog bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan menyeluruh

“Kementerian percaya agensi bertanggungjawab menguruskan hal ini akan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kepentingan pelajar dan AATC sentiasa terpelihara,” katanya.

Semalam , AATC menafikan dakwaan kononnya membuang dua penuntutnya yang gagal menjelaskan yuran pengajian tanpa sebarang notis dan proses rundingan, baru-baru ini.

AATC, dalam satu kenyataan dikeluarkan firma guamannya, Raj & Sach, memaklumkan dua penuntut terbabit gagal menjelaskan yuran pengajian walaupun tuntutan dibuat berulang kali, menjangkau tempoh lebih dua tahun.

Katanya, kedua-dua pelajar terbabit juga enggan menerima sebarang bentuk bantuan kewangan atau pinjaman pengajian yang disediakan AATC atau mendapatkan bantuan kewangan lain.

Berita Harian X