Selasa, 27 Ogos 2019 | 9:23pm
Pemandu GoJek mengancam untuk mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, bagi membantah terhadap satu dakwaan penghinaan terhadap profesion itu. - Foto hiasan

Pemandu GoJek ancam kepung kedutaan Malaysia di Jakarta

JAKARTA: Pemandu GoJek mengancam untuk mengadakan demonstrasi di Kedutaan Besar Malaysia di sini, bagi membantah terhadap satu dakwaan penghinaan terhadap profesion itu oleh pengasas dan penasihat sebuah syarikat teksi Malaysia.

Menurut beberapa laporan media tempatan, yang memetik kenyataan Ketua Nasional Gabungan Aksi Roda Dua (Garda) Indonesia, Igun Wicaksono sebagai berkata mereka akan mengemukakan surat bantahan kepada Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar.

Menurut Igun jika pihak terbabit tidak membuat permohonan maaf terbuka, mereka merancang untuk mengadakan demonstrasi dan mengepung Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada 3 September ini.

Berdasarkan satu video yang viral di Indonesia, pengasas dan penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Datuk Shamsubahrin Ismail membuat kenyataan yang dianggap menghina pemandu GoJek dan negara Indonesia.

“Ini negara miskin, kita negara kaya. Kalau Indonesia anak muda bagus, dia tak keluar, keluar negara untuk cari kerja. GoJek hanya untuk orang miskin seperti di Jakarta,” menurut petikan video itu.

Diasaskan oleh Nadiem Makarim, 35, yang kini juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat rangkaian pengangkutan dan start up itu, GoJek adalah kebanggaan Indonesia, bukan hanya sekadar perkhidmatan pengangkutan penumpang menggunakan motosikal tetapi lebih dari itu.

Di Indonesia, bagi tiga bulan pertama 2019, aplikasi GoJek telah dimuat turun lebih daripada 142 juta kali, dengan lebih daripada dua juta rakan kongsi pemandu.

Pada 2018, GoJek juga mencatatkan nilai transaksi kasar (GTV) lebih AS$9 bilion di semua negara operasinya, dan menjadikannya kumpulan teknologi pengguna terbesar di Asia Tenggara berdasarkan GTV.

GoJek kini juga beroperasi di Singapura, Filipina, Thailand (dikenali sebagai GET) dan Vietnam (dikenali sebagai GoViet).

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Rahman mencadang memperkenalkan perkhidmatan teksi motosikal atau lebih dikenali sebagai GoJek, yang mencetuskan polemik.

Ditubuhkan pada 2010, GoJek menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti GoRide (perkhidmatan pengangkutan motosikal), GoCar (pengangkutan kereta seperti GrabCar), GoFood (penghantaran makanan), GoBlueBird (perkhidmatan teksi), GoBills ( pembayaran bil semasa), GoMart (perkhidmatan pembelian barangan di pasar raya), GoLaundry (perkhidmatan dobi) dan GoAuto (perkhidmatan membaiki kenderaan). - BERNAMA

Berita Harian X